Lelaki Orang Asli Maut Diserang Harimau

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH, 19 November (The Capital Post) – Seorang lelaki Orang Asli berusia 65 tahun maut selepas dipercayai diserang harimau ketika mencari buluh di kawasan hutan Lata Serai, Kampung Bawong, dekat Sungai Siput, semalam.

Mangsa, Ngah Itam yang merupakan bapa tunggal kepada lima anak, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menerusi hantaran di Facebook.

Mohd Zolkafly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang berkata beliau menerima berita mengenai kejadian itu daripada Ketua Balai Polis Lintang ketika berada di Johor selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Mexclub kali ke-62 di Desaru.

Beliau berkata kejadian berkenaan merupakan insiden kedua yang mengorbankan nyawa penduduk akibat dipercayai diserang harimau di kawasan Sungai Siput dalam tempoh hampir dua bulan.

-Advertisement-

Pada 21 September lalu, seorang penduduk Kampung Takong, Pos Perwor, turut maut selepas dipercayai diserang harimau ketika mencari rotan di kawasan hutan.

Sehubungan itu, Mohd Zolkafly berharap pemantauan dan langkah keselamatan di kawasan berisiko dapat dipertingkatkan dengan segera bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Beliau turut menasihatkan penduduk Kampung Bawong serta kawasan berhampiran supaya sentiasa berwaspada, menjauhi lokasi kejadian dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Dalam masa sama, beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta berharap anak-anak dan ahli keluarga Ngah Itam diberikan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut. – The Capital Post