VIENNA, 23 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Austria menyasarkan jumlah pemohon suaka yang meninggalkan negara itu melebihi bilangan ketibaan baharu dalam jangka panjang, susulan penurunan jumlah permohonan suaka yang direkodkan sepanjang tahun ini.
Kementerian Dalam Negeri Austria dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan kira-kira 3,000 permohonan suaka dikemukakan oleh individu yang baru tiba antara Januari hingga Oktober tahun ini, manakala lebih 4,000 individu berlatarbelakangkan pemohon suaka meninggalkan negara itu dalam tempoh sama.
Kementerian berkenaan menyifatkan perkembangan itu sebagai net negative migration, iaitu keadaan apabila jumlah individu yang keluar dari sesebuah negara melebihi jumlah yang masuk.
Menteri Dalam Negeri Austria, Gerhard Karner berkata, penubuhan pusat pemulangan di luar Kesatuan Eropah (EU) merupakan langkah penting dan inovatif bagi memastikan trend tersebut berterusan dalam jangka panjang.
Perkara itu turut disahkan oleh pejabat jurucakap kementerian berkenaan kepada Xinhua pada Ahad.
-Advertisement-
Menurut laporan penyiar Austria ORF, sebanyak 8,152 permohonan suaka direkodkan antara Januari hingga Oktober tahun ini, iaitu penurunan sebanyak 6,509 permohonan berbanding tempoh sama pada 2025.
Dalam perkembangan berkaitan, Austria bersama Jerman, Denmark, Belanda dan Greece merancang membuka pusat pertama bagi penghantaran pulang pemohon suaka yang permohonannya ditolak di Rwanda pada tahun depan.
Rancangan itu diumumkan Canselor Austria, Christian Stocker pada 16 November lalu.
Pemohon suaka yang permohonannya ditolak tetapi tidak dapat dihantar pulang ke negara asal berkemungkinan ditempatkan di Rwanda menerusi inisiatif berkenaan. – The Capital Post