NEW YORK, 23 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Lebih 670 penerbangan Delta Air Lines di hab utamanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta, Amerika Syarikat (AS), mengalami kelewatan pada pagi Ahad berikutan masalah teknikal yang menjejaskan sistem operasi syarikat penerbangan itu.
Berdasarkan data laman penjejakan penerbangan FlightAware, sebanyak 815 penerbangan di lapangan terbang berkenaan mengalami kelewatan sehingga tengah hari waktu Timur AS, dengan 672 daripadanya melibatkan penerbangan Delta Air Lines.
Susulan gangguan itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) pada awalnya mengarahkan penggantungan sementara perlepasan pesawat Delta yang menuju ke Atlanta. Arahan berkenaan kemudian digantikan dengan pelaksanaan program penangguhan penerbangan di lapangan terbang asal.
Kelewatan tersebut dipercayai berpunca daripada masalah pada sistem automatik yang digunakan untuk mengira berat dan keseimbangan pesawat Delta.
Dalam satu kenyataan, Delta memaklumkan bahawa pasukannya menggunakan prosedur manual bagi membolehkan penerbangan diteruskan dengan selamat sementara kerja-kerja pemulihan sistem automatik dijalankan.
-Advertisement-
Gangguan itu berlaku hanya beberapa hari selepas FAA mengarahkan penggantungan sementara perlepasan penerbangan di seluruh negara pada 13 November lalu susulan masalah teknikal yang melibatkan rangkaian komunikasi kawalan trafik udara agensi berkenaan.
Insiden tersebut merupakan antara langkah penggantungan operasi yang jarang dilaksanakan oleh FAA.
Sementara itu, United Airlines turut berdepan gangguan teknikal berasingan pada 16 November lalu yang mengakibatkan kelewatan penerbangan syarikat berkenaan. – The Capital Post