Gangguan Bekalan Elektrik Jejas Lapan Daerah Sabah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU, 26 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Lapan daerah di Pantai Timur Sabah mengalami gangguan bekalan elektrik pagi ini, menurut notis pemakluman yang dikeluarkan Sabah Electricity Sdn Bhd.

Daerah yang terjejas ialah Tawau, Sandakan, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Beluran, Telupid dan Kinabatangan.

Menerusi notis yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, Sabah Electricity memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengenal pasti punca gangguan sebelum melaksanakan kerja-kerja pemulihan bekalan secara berperingkat.

“Pihak Sabah Electricity sedang mengenal pasti punca gangguan dan seterusnya melaksanakan pemulihan secara berperingkat.

“Sabah Electricity amat menghargai kesabaran anda dan segala kesulitan amat dikesali, terima kasih,” menurut kenyataan itu.

-Advertisement-

Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun gangguan berkenaan dipercayai berpunca daripada sebuah menara penghantaran elektrik yang tumbang di daerah Ranau.

Sabah Electricity turut memaklumkan bahawa kenyataan susulan akan dikeluarkan bagi memberikan perkembangan terkini berhubung insiden berkenaan.

Sementara itu, satu video berdurasi satu minit 51 saat yang memaparkan kabel penghantaran elektrik merentasi jalan di Ranau tular di media sosial susulan kejadian menara berhampiran yang dilaporkan tumbang. – The Capital Post