KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Tragedi kemalangan jalan raya pada Julai 2010 mengubah kehidupan Mohd Norafi Mokhsin apabila lelaki yang sebelum ini sihat dan mampu bergerak seperti biasa mengalami kecacatan fizikal sehingga sukar berjalan, selain kehilangan sepenuhnya fungsi tangan kanannya.
Dalam tempoh enam tahun selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori, lelaki berusia 38 tahun itu menjalani beberapa pembedahan, rawatan rehabilitasi dan fisioterapi. Beliau turut menerima rawatan selama lapan bulan di Hospital Melaka pada 2015 akibat kemurungan serius.
Namun, selepas hampir sedekad berdepan pelbagai cabaran, termasuk tanggungjawab menjaga bapanya yang terlantar akibat strok, Mohd Norafi akhirnya menemui peluang untuk membina kehidupan baharu menerusi perniagaan sambal garing yang bermula daripada minatnya dalam bidang masakan.
Menerusi jenama Beltto Sambal Garing Terkulai, beliau memulakan perniagaan itu pada Oktober tahun lalu dengan menjual produk melalui platform TikTok.
Bermula dengan sebuah kuali kecil yang hanya mampu menghasilkan maksimum enam botol sambal bagi setiap sesi siaran langsung, Mohd Norafi kini menggunakan mesin yang berupaya menghasilkan sehingga 150 kilogram sambal.
IDEA KAKAK
Berkongsi kisahnya, anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Kampung Semabok Dalam, Melaka Tengah itu berkata idea menghasilkan sambal untuk tujuan jualan tercetus daripada kakaknya.
Beliau berkata minat memasak sudah lama wujud, namun disebabkan hanya tinggal bersama bapanya selepas ibunya meninggal dunia pada 1988, beliau tidak memasak setiap hari.
Sebaliknya, beliau lebih gemar menyediakan sambal yang dimasak sehingga kering supaya boleh disimpan dalam tempoh lebih lama.
“Satu hari kakak dan saudara datang ke rumah dan mencuba sambal masakan saya. Kakak cakap ‘sambal ini boleh jual’ (sebab sedap),” katanya.
Pujian tersebut meningkatkan keyakinan Mohd Norafi untuk memulakan perniagaan, namun beliau terlebih dahulu menjalankan penyelidikan selama kira-kira enam hingga tujuh bulan bagi memastikan rasa dan kualiti produknya.
“Pada awalnya saya buat ‘live’ di TikTok sambil memasak dan mempromosikan sambal yang saya masak, tetapi sambutan tidaklah menggalakkan, sekadar dapat jual dua hingga enam botol setiap kali bersiaran langsung,” katanya.
Perniagaannya mula mendapat perhatian selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mengunjunginya pada Mei tahun ini, sekali gus menyebabkan kisah beliau tular dan tempahan sambal meningkat.
Menurutnya, jualan menerusi setiap sesi siaran langsung kini mampu mencecah kira-kira RM300 dan pernah mencapai RM1,000.
Beliau turut menerima bantuan bulanan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450.
Antara produk yang ditawarkan termasuk sambal ikan bilis, ikan masin tamban, keli, tempe dan telur masin.
Walaupun kini menggunakan mesin pengacau automatik, proses memasak sambal masih mengambil masa antara 12 hingga 14 jam bagi mendapatkan tekstur pekat dan garing.
“Cuma sekarang kerja mengacau lebih mudah kerana mesin akan berpusing secara berterusan,” katanya.
KEMBALI BANGKIT
Mengimbas kembali perjalanan hidupnya, Mohd Norafi berkata beliau mula mengalami tekanan emosi selepas fungsi tangan kanannya semakin terjejas susulan pembedahan yang dijalani bagi mengurangkan kesakitan akibat kecederaan saraf tunjang.
Beliau berkata selepas empat tahun menjalani rawatan dan rehabilitasi, keadaannya pada mulanya menunjukkan perkembangan positif apabila mampu berjalan dan berlari, walaupun doktor pernah menjangkakan kemungkinan beliau mengalami kelumpuhan akibat kecederaan serius pada saraf tunjang.
Bagaimanapun, pada 2015, beliau mengalami kesakitan pada tangan kanan sebelum disarankan menjalani pembedahan.
“Doktor cadangkan supaya saya menjalani pembedahan bagi mengurangkan kesakitan itu, namun yang terjadi selepas itu lebih teruk,” katanya.
Keadaan tersebut menyebabkan beliau terpaksa bergantung pada tiub untuk membuang air kecil serta mengambil ubat bagi membantu proses pembuangan air besar.
Mohd Norafi berkata perubahan fizikal itu sukar diterima sehingga beliau mengalami tekanan emosi yang serius dan dirujuk ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan psikiatri.
-Advertisement-
“Sepanjang rawatan, saya diberikan ubat dan selepas makan ubat saya hanya mahu berbaring dan tidur. Namun, lama-kelamaan saya mula tertanya-tanya sampai bila saya perlu bergantung pada ubat dan terus begitu?
“Saya bukan gila, hanya mengalami tekanan perasaan,” katanya.
Pada 2016, beliau sekali lagi menjalani pembedahan pada kaki kanan selepas mengalami kesukaran berjalan akibat saraf tunjang yang terhimpit.
Selepas pembedahan itu, beliau menjalani rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka.
Pengalaman menjalani rehabilitasi di pusat berkenaan menjadi titik perubahan apabila beliau mula melihat cabaran kehidupan daripada perspektif berbeza.
“Di sinilah persepsi saya terhadap kehidupan mula berubah. Sebelum ini saya sangka keadaan saya sudah cukup teruk, tetapi rupa-rupanya ada insan lain yang diuji lebih berat.
“Saya melihat sendiri ada pesakit yang kehilangan kaki, tangan malah yang terpaksa mengesot untuk bergerak pun ada. Dari situ saya belajar untuk reda dan bangkit semula. Pengalaman itu benar-benar menyedarkan saya,” katanya.
Beliau turut berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan fizikalnya, termasuk berlatih menggunakan tangan kiri.
Kekuatan mentalnya semakin bertambah selepas bapanya, Mokhsin Hasan, 63, mengalami strok pada 2018 dan terlantar.
Mengakui tanggungjawab menjaga bapanya bukan sesuatu yang mudah dalam keadaan dirinya sendiri mempunyai keterbatasan fizikal, Mohd Norafi menjadikan amanah itu sebagai kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
“Saya perlu kuat dari segi emosi, saya fikir inilah dugaan yang perlu saya hadapi. Saya tidak boleh lari daripada tanggungjawab. Saya anggap waktu yang ada ini sebagai peluang untuk berbakti kepada ayah,” katanya.
PERANCANGAN MASA DEPAN
Mengulas perancangan masa depan, Mohd Norafi berharap perniagaan Beltto Sambal Garing Terkulai dapat berkembang lebih luas selepas menerima geran bagi mendapatkan pensijilan halal menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Alhamdulillah, sekarang saya sudah mendapat geran untuk pensijilan halal daripada MAIM. Saya berharap selepas ini pasaran Sambal Garing Terkulai dapat diperluaskan termasuk menembusi pasar raya dan pusat beli-belah… malah, mungkin boleh dieksport ke luar negara,” katanya.
Beliau turut merancang meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan menyediakan ruang pemprosesan yang lebih besar bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Menurutnya, ruang dapur di rumah yang sebelum ini agak sempit telah diperbesar dan diubah suai, manakala perancangan seterusnya adalah membina bengkel pemprosesan sendiri.
Beliau berharap pensijilan halal yang bakal diperoleh dapat membuka lebih banyak peluang pemasaran, termasuk penyertaan dalam ekspo.
Dalam pada itu, Mohd Norafi berkata beliau memerlukan beberapa peralatan tambahan seperti mesin pencencang bawang dan pengisar berskala industri bagi memudahkan proses penyediaan sambal.
Katanya, beliau masih menggunakan mesin pencencang biasa yang memerlukan kerja mengangkat dan mengendalikan bahan secara manual, manakala harga pengisar komersial pula boleh mencecah ribuan ringgit.
“Jika ada bantuan peralatan ini dapatlah meringankan kerja dan meningkatkan jumlah pengeluaran,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, Mohd Norafi menasihati golongan OKU yang masih bergelut menerima keadaan diri supaya tidak takut mencuba perkara baharu atau terlalu dibelenggu kebimbangan sehingga menghalang mereka daripada mengambil peluang.
“Jangan takut untuk mencuba. Kadang-kadang kita terlalu banyak berfikir, takut hendak buat itu dan ini kerana bimbang tersilap, sedangkan kesilapan itu perkara biasa dan dari situlah kita belajar untuk menjadi lebih baik.
“Jangan jadikan kekurangan diri sebagai penghalang. Kita tidak tahu mungkin di sebalik kekurangan itu, Allah SWT telah memberikan kelebihan dalam perkara lain. Kita juga perlu yakin dengan qada dan qadar Allah SWT. Setiap dugaan yang diberikan pasti ada hikmahnya,” katanya. – The Capital Post