BHOPAL, 29 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Skuad hoki wanita negara, Speedy Tigress, terpaksa melupakan peluang beraksi di pentas final Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 selepas tewas 2-6 kepada tuan rumah India dalam aksi separuh akhir pada Jumaat.
Perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Antarabangsa Barkheda Nathu, Bhopal itu menyaksikan India menguasai permainan menerusi jaringan Mumtaz Khan pada minit ke-10 sebelum Navneet Kaur menggandakan kelebihan lapan minit kemudian.
India terus mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan pukulan sudut penalti Deepika pada minit ke-25.
Malaysia merapatkan jurang dua minit kemudian apabila Nur Afiqah Syahzani Azhar menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-27.
Bagaimanapun, Deepika sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-30 sebelum Sunelita Toppo menambah gol kelima India menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-33.
-Advertisement-
Skuad kendalian C.R. Kumar terus berusaha mengejar kedudukan apabila Nuramirah Shakirah Zulkifli menjaringkan gol kedua Malaysia pada minit ke-52.
Namun, India melengkapkan kemenangan 6-2 menerusi jaringan Ishika hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-57.
Kekalahan pada Jumaat itu menyaksikan Malaysia kini perlu mengalihkan tumpuan kepada perebutan tempat ketiga apabila dijadualkan berdepan Jepun pada Sabtu.
Jepun turut gagal melangkah ke final selepas tewas tipis 0-1 kepada China dalam satu lagi aksi separuh akhir. – The Capital Post