MDEC Sediakan Panduan Penggunaan AI Mengikut Industri Untuk PMKS

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 29 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menyediakan panduan penggunaan kecerdasan buatan (AI) mengikut industri bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memanfaatkan teknologi itu dalam operasi harian tanpa mendedahkan data yang perlu dilindungi.

Pengerusi MDEC, Ganesh Kumar Bangah berkata panduan berkenaan akan menerangkan kaedah memberikan arahan kepada aplikasi AI berdasarkan keperluan perniagaan, selain membantu syarikat mengenal pasti maklumat yang sesuai untuk dikongsi dengan aplikasi tersebut.

“Bagi penggunaan AI secara bertanggungjawab, panduan tersebut akan membantu PMKS mengenal pasti apa yang boleh dan tidak boleh digunakan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara: Aspirasi Ekonomi terbitan Bernama TV.

Beliau berkata lebih satu pertiga rakyat Malaysia sudah mula menggunakan AI, namun cabaran seterusnya adalah membantu pengguna memanfaatkan teknologi itu untuk meningkatkan produktiviti, termasuk membangunkan ejen AI yang mampu melaksanakan tugasan berulang secara automatik.

Menurutnya, perbezaan antara arahan atau prompt dengan ejen AI ialah prompt memerlukan pengguna memberikan arahan untuk mendapatkan nasihat dan panduan, manakala ejen AI berupaya melaksanakan tindakan secara sendiri.

“Kalau kita dah mula membuat lebih banyak ejen, itu adalah di mana produktiviti kita akan naik,” katanya.

Ganesh berkata kos langganan dan kekurangan pengetahuan mengenai kaedah penggunaan AI merupakan dua halangan utama yang dihadapi PMKS.

Bagi menangani isu kos, beliau berkata National Compute Exchange (NCX) dijadual dilancarkan tahun depan bagi menghubungkan syarikat tempatan dengan kapasiti pengkomputeran yang tersedia di pusat data dalam negara.

“Harapannya adalah supaya kos kepada syarikat PMKS ini akan menurun dengan adanya NCX ini,” katanya.

Beliau menjelaskan akses kepada kapasiti pengkomputeran pada kos lebih rendah berpotensi membantu PMKS bersaing dengan syarikat lebih besar, selain mengembangkan perniagaan ke pasaran Asia Tenggara.

Dalam masa sama, MDEC turut melihat peluang menyesuaikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan perkembangan teknologi robotik, khususnya melalui latihan membina dan mengendalikan robot bagi meningkatkan produktiviti tenaga kerja.

Bagi merapatkan jurang digital, Ganesh berkata Jelajah Malaysia Digital anjuran MDEC telah singgah di 12 lokasi, kebanyakannya di kawasan luar bandar, bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penggunaan AI dan perisian digital.

Di peringkat industri, MDEC turut membantu syarikat teknologi tempatan menembusi pasaran luar negara serta memadankan produk mereka dengan keperluan PMKS di Malaysia.

Selain itu, MDEC bersama Kementerian Digital menyasarkan ekonomi digital menyumbang 30 peratus kepada ekonomi negara menjelang 2030, dengan penggunaan AI dalam kalangan PMKS menjadi antara fokus utama.

Ganesh berkata penguasaan kemahiran AI merupakan keperluan penting bagi merealisasikan sasaran Malaysia menjadi negara AI menjelang 2030.

“Selain itu, penggunaan AI yang lebih meluas dalam kalangan syarikat tempatan dan masyarakat berpotensi meningkatkan produktiviti, sekali gus menyokong kenaikan gaji dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – The Capital Post