AADK tahan 38 individu termasuk tiga beradik positif dadah

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR SETAR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan 38 individu termasuk tiga beradik selepas mereka didapati positif dadah dalam serbuan di beberapa kawasan di daerah Kuala Muda, semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata dalam serbuan pada 6.20 pagi di Flat Paya Nahu 2 itu, seorang lelaki dan dua wanita yang kesemuanya adik-beradik ditahan kerana positif dadah jenis morfin.

“Lelaki berumur 22 tahun dan dua kakaknya yang berumur 24 dan 26 tahun itu ditahan di dalam rumah yang sama dan semasa serbuan terdapat tiga kanak-kanak berusia antara 12 bulan hingga 8 tahun yang merupakan anak kepada dua wanita berkenaan.

-Advertisement-

“Selain mereka, kita turut menahan 35 lelaki yang berumur antara 15 hingga 57 tahun dalam serbuan di 20 kawasan sekitar daerah ini yang bermula dari 6 pagi hingga 11.30 malam semalam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Arnida berkata dalam serbuan di Jeti Pasar Bisik, kebanyakan penagih yang bekerja sebagai nelayan bertindak terjun ke dalam laut dan melarikan diri menggunakan bot yang ada di situ sebaik menyedari kehadiran anggota AADK di kawasan tersebut.

“Kesemua mereka yang positif dadah jenis syabu dan morfin itu dibawa ke pejabat AADK dan diambil tindakan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998,” katanya.

– BERNAMA

-Advertisement-


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373