KUALA LUMPUR 1 Ogos 2026, (The Capital Post) – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencipta sejarah apabila berjaya menerbitkan Sukuk Biru pertama di dunia serta terbitan Bon/Sukuk Biru pertama di Malaysia bernilai RM200 juta di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM20 bilion.
Terbitan bertempoh 15 tahun itu menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan pembiayaan mampan sektor air di pasaran modal Malaysia, selain mencerminkan komitmen Air Selangor dalam memanfaatkan instrumen kewangan lestari bagi menyokong projek yang memberi impak positif terhadap alam sekitar. CIMB Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Penstrukturan Kelestarian Tunggal dan Pengurus Utama Tunggal bagi pelaksanaan transaksi tersebut.
Sukuk Biru itu menyokong pembangunan pembiayaan biru, iaitu segmen kewangan mampan yang memfokuskan pelaburan dalam pengurusan, pemuliharaan, pemulihan serta penggunaan sumber air dan ekosistem berkaitan secara mampan. Inisiatif tersebut turut menyokong usaha memperkukuh keselamatan bekalan air, daya tahan terhadap perubahan iklim, pencegahan pencemaran serta pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), khususnya SDG 6 mengenai Air Bersih dan Sanitasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, pembangunan infrastruktur air yang berdaya tahan memerlukan pelaburan jangka panjang yang disokong oleh pembiayaan mampan. Menurut beliau, penerbitan Sukuk Biru pertama di dunia itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkenalkan penyelesaian pembiayaan inovatif bagi memperkukuh keselamatan air, melindungi sumber semula jadi dan mewujudkan nilai jangka panjang kepada masyarakat.
-Advertisement-
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank, Nor Masliza Sulaiman berkata, pihaknya berbangga dapat memainkan peranan penting dalam menjayakan penerbitan bersejarah itu serta membantu Air Selangor menambah baik Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Pembangunan Mampan. Beliau berharap inisiatif tersebut akan mempercepat penggunaan pembiayaan biru di Malaysia dan rantau ini bagi menyokong pelaburan dalam keselamatan air, daya tahan alam sekitar serta pembangunan mampan.
Sukuk Biru itu diterbitkan di bawah Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Pembangunan Mampan Air Selangor Versi 2.0 yang telah diperkemas bagi menyokong pembiayaan projek berkaitan pengurusan air, pengurusan air sisa, perlindungan sumber air, penyesuaian iklim, kecekapan tenaga, pengangkutan bersih serta inisiatif sosial. Rangka kerja tersebut turut menerima penilaian awal daripada RAM Sustainability Sdn Bhd yang mengesahkan projek-projek layak di bawah kerangka berkenaan memenuhi Garis Panduan Pembiayaan Biru Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) Versi 2.0. – The Capital Post