Aman belum temui jodoh, ibu halang kahwin muda

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aman Aziz, 31, mengakui pernah merancang menamatkan zaman bujang kira-kira tujuh tahun lalu selepas menemui kekasih, namun hasrat itu disekat oleh ibunya.

Aman yang popular dengan lagu Without You dan Sulit berkata, dia berhasrat berkahwin pada usia 24 tahun apabila menyifatkan kekasih hatinya itu sesuai untuk dijadikan isteri, selain mempunyai keserasian.

“Dulu, ketika berusia 24 tahun saya rasa sudah jumpa kekasih hati dan serasi dijadikan teman hidup. Tapi, masa itu emak tak benarkan kahwin.

“Apabila saya luahkan hasrat nak kahwin, emak halang sebab saya masih muda lagi. Dia (emak) pun berkahwin ketika umur 26 tahun dan saya dinasihatkan agar bersabar dan fokus pada karier.

“Tapi, sekarang saya belum fikir nak kahwin bila usia masuk 30-an sebab hendak berseronok sepuasnya.

“Saya ingin mengejar impian dalam karier dan urusan jodoh biar takdir menentukan. Saya berserah pada Allah,” katanya kepada BH Online.

Naib juara program realiti, Akademi Fantasi (AF) pada 2014 itu berkata, buat masa ini, dia masih ‘solo’ dan belum mempunyai teman istimewa kerana mahu mempersiapkan diri terlebih dahulu.

“Setakat ini, hanya berkawan-kawan sahaja kerana perlu mempersiapkan diri sebaik mungkin terutama dari segi karier dan kewangan.

“Bukanlah saya tak sedia langsung atau takut nak kahwin, cuma mahu pastikan diri saya betul-betul bersedia melangkah ke fasa perkahwinan.

“Sebab saya hendak kahwin sekali sahaja dalam hidup,” katanya.

Ditanya permintaan keluarga yang mahu melihat dirinya berkahwin selepas usia sudah meningkat, Aman atau nama sebenar, Razman Abdul Aziz berkata, ada ketika mereka mengajukan soalan sedemikian.

“Kakak dan emak saya ada juga tanya bila hendak kahwin, tapi saya berterus-terang sahaja. Alhamdulillah, mereka faham dan saya akan kahwin selepas betul-betul bersedia, tapi sekarang belum lagi.

“Doakan yang baik-baik agar dipertemukan jodoh. Apapun, sekarang saya mahu beri keutamaan dan fokus pada karier dulu,” kata Aman yang turut aktif dalam bidang lakonan.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment