Bantu isteri jalani tempoh berpantang elak meroyan

Estimate Reading Time: 3 minutes

GEORGETOWN: “Usia saya masih muda ketika itu dan dia adalah anak sulung. Mulanya semua ok, tapi anak yang masih dalam hari selalu menangis.

“Kata emak, anak saya itu kena sawan tangis. Sepanjang masa terutama pada awal pagi hingga masuk ke waktu tengah hari dan bersambung semula hingga ke malam.

“Bayangkan betapa haru-birunya keadaan saya masa tu, sudahlah rehat tidak cukup, suami pula langsung tidak mahu menolong, saya jadi sedih yang teramat dan tidak tahu hendak kawal diri,” itu kata Alia Rusynaida Halim, 40, ketika mengimbau pengalamannya yang berdepan masalah meroyan selepas melahirkan anak sulungnya, 15 tahun lalu.

Kata Alia Rusynaida, ketika itu fikirannya serabut dan anaknya yang masih merah dimarah dan dicaci maki dengan kata-kata kesat, malah dia mengakui nyaris saja mahu menampar pipi bayinya itu, tetapi cepat dihalang oleh ibunya.

Kongsinya, selain tidak cukup rehat ketiadaan ilmu keibubapaan juga membuatnya gagal mengendalikan emosi yang tidak menentu.

“Saya masih ingat, anak itu tidak berhenti menangis walaupun pelbagai cara sudah saya buat untuk mententeramkannya.

“Semua petua orang lama saya guna tapi anak masih menangis. Malah, paling sakit hati, suami buat tidak peduli hingga saya tidak mampu hendak kawal perasaan dan terfikir untuk bercerai saja,” katanya.

Setahun meroyan

Mengulas lanjut, Alia Rusynaida berkata, dia berdepan masalah meroyan selama setahun sebelum kembali pulih selepas mendapatkan rawatan, selain katanya, ibunya tidak putus-putus berdoa supaya dia segera sembuh.

Sambungnya lagi, dia turut mempelajari kemahiran menghadapi tekanan dan mempraktikkannya.

“Saya sebenarnya tak tahu yang saya meroyan.

“Ibu yang beritahu selepas melihat keadaan saya yang tidak terurus dan sering bercakap kasar dengan anak yang masih bayi.

“Sesudah itu, saya jadi trauma untuk hamil lagi, malah hendak bercerai. Mana tidaknya, setiap hari saya dan suami bergaduh hingga nak pandang muka dia pun tak boleh,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia semakin memahami dirinya sendiri apabila mula mengikuti kelas-kelas berkaitan termasuk ilmu berkaitan keibubapaan.

Lama kelamaan katanya, dia semakin mahir mengendalikan emosi dan keadaan kesihatan mentalnya semakin pulih.

Pengalaman itu katanya memberinya panduan dalam apa saja perkara, ilmu adalah hal penting untuk membentuk rohani.

Katanya, dia mengambil masa lima tahun selepas kelahiran anak sulung untuk kembali hamil dan untuk kali kedua dia memastikan membuat persiapan yang cukup.

“Semasa lahir anak kedua, saya lebih bersedia kerana nekad tidak mahu lagi mengulangi kesilapan sama.

“Saya bersyukur masalah yang dihadapi hanya seketika sedangkan ada ibu yang diuji jauh lebih hebat hingga ke tahap di luar jangkaan seperti membunuh anak sendiri.

“Jadi, saya sangat berharap suami atau ahli keluarga terdekat tolong beri perhatian serius mengenai perkara ini, ia adalah isu besar,” katanya yang kini memiliki tiga cahaya mata berusia lima hingga 15 tahun.

Kisah Alia Rusynaida bukan luar biasa, malah kita pernah mendengar cerita lebih tragis antaranya si ibu yang membunuh bayinya sendiri akibat meroyan.

Pensyarah Kanan, Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Dr Tengku Norbaya Tengku Azhar, masalah meroyan sebenarnya mempunyai skop yang lebih luas.

“Meroyan dari sudut pandang psikiatri disebut sebagai kecelaruan mood dan keresahan perinatal atau ‘Perinatal Mood and Anxiety Disorder (PMAD)’.

“Manakala depresi atau kemurungan juga keresahan (anxiety),obsesif kompulsif (OCD) dan yang paling kritikal, psikosis pula adalah simptom PMAD.

“Nak kenal depresi, gejalanya dikaitkan dengan keadaan sedih berpanjangan, mudah marah, insomnia, selain tiada motivasi diri dan tidak lagi berasa gembira dengan apa yang ada,” katanya.

Tegas Dr Tengku Norbaya, berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sesiapa sahaja boleh mengalami simptom seperti itu dan ia tidak terhad kepada ibu-ibu sahaja.

Kebimbangan melampau

Namun begitu kecenderungan untuk ibu-ibu mengalami situasi ini sebelum atau selepas bersalin adalah lebih besar memandangkan fisiologi mereka yang berubah drastik dalam tempoh berkenaan.

Katanya, keresahan boleh dikaitkan dengan fikiran yang kusut serta ketakutan dan kebimbangan melampau terhadap perkara-perkara tidak sepatutnya.

“Ibu-ibu ini kebiasaannya hilang kemampuan bersosial dengan baik dan sering memencilkan diri. Lebih teruk lagi, mereka berkecenderungan mendapat psikosis sehingga mengalami halusinasi seperti mendengar suara dan bisikan halus yang membawa kepada kejadian yang tidak diingini seperti mencederakan diri dan anak,” katanya.

Jelas beliau, ibu-ibu yang berhadapan simptom seperti itu biasanya menyedari perubahan diri, namun sebahagian mereka menafikannya dan malu untuk berkongsi dengan orang sekeliling apa lagi mendapatkan bantuan.

Katanya, perkara utama yang perlu disedari adalah masalah itu perlu rawatan dengan segera. Justeru, ketika menjalani pemeriksaan postpartum di klinik kesihatan, jangan segan untuk bercerita mengenai masalah yang dilalui.

Pada masa sama tegasnya, suami perlu memainkan peranan penting. Ketika isteri melalui masa berpantang, suami perlu memberi perhatian apatah lagi jika si isteri mula menunjukkan gejala depresi awal.

“Jaga keperluan isteri, pastikan makanan yang sihat disediakan, tempat selesa untuk berpantang dan urusan penyusuan bayi serta rawatan susulan di hospital dipantau dengan baik.

“Ibu serta ibu mentua juga perlulah memahami dan menghormati pilihan ibu-ibu mengenai cara berpantang yang lebih mereka sukai.

“Paling utama isu ini tidak boleh memandang enteng. Kegagalan kita dalam memahami depresi dan PMAD menyebab kita mengabaikan simptom awal dan terlewat mendapatkan rawatan sewajarnya,” katanya .

-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment