COVID-19: Orang ramai mula pakai pelitup muka

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Jangkitan COVID-19 dalam negara mencatatkan trend peningkatan beberapa minggu lalu mencetus kegusaran dalam kalangan penduduk.

Orang ramai mula bimbang lebih-lebih lagi Sambutan Krismas dan Tahun Baru menjelang tiba tidak lama lagi.

Tinjauan BH di sekitar Bukit Bintang mendapati ramai pengunjung dan memakai pelitup muka, namun tidak kurang juga bagi mereka yang tidak mengamalkan pemakaian pelitup muka.

Pesara swasta, Noorazman Jamaludin, 61, berkata beliau bimbang terhadap trend menaik individu yang dijangkiti COVID-19 dan meminta semua orang sentiasa waspada dengan keadaan sekeliling.

Katanya, orang ramai perlu patuh pada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperkenal terdahulu ketika awal pandemik COVID-19 termasuk memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan menggunakan cecair pembasmi kuman serta mengamalkan penjarakan sosial.

“Saya tak pakai pelitup muka sebab ada masalah semput tapi kalau dari segi aspek pencegahan lain, saya ada amalkan macam cuci tangan guna cecair pembasmi kuman,” katanya.

Kakitangan swasta, Nurlina Halim, 29, menyifatkan kempen pencegahan seperti yang dibuat sebelum ini hanya berkesan dalam tempoh seminggu dan selepas itu kebanyakan orang mengambil ringan aspek pencegahan.

“Kita nampak usaha kerajaan mengadakan kempen kesedaran supaya cakna tapi sekarang macam orang tak kisah,” katanya.

Sementara itu, seorang guru Mohd Faizee Azwar, 38, berkata beberapa pelajar yang tidak hadir ke sekolah minggu lalu disebabkan COVID-19.

“Melihat keadaan ini, memang kita risaulah. Apa yang kita dapat buat ialah berhati-hati dan ikut arahan pihak berkuasa.

Pelajar institut pendidikan tinggi awam (IPTA), Izzah Kamilah, 22, pula berkata, beliau bimbang kelas fizikal terjejas akibat peningkatan kes COVID-19.

“Saya harap semua orang ambil langkah berjaga-jaga. Macam kalau ada pelajar yang datang dari luar negara, mereka perlu buat saringan dan kuarantin terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk masuk kampus,” katanya.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373