Dasar gaji minimum RM1,500 bela hak, kebajikan pekerja tempatan

Estimate Reading Time: 3 minutes

Pengumuman pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bakal dilaksanakan pada 1 Mei ini, boleh dianggap hadiah terbaik sempena Hari Pekerja.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020 dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan ketika pembentangan Belanjawan 2020.

Penetapan gaji minimum juga selaras peruntukan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang menetapkan keperluan mengkaji gaji minimum setiap dua tahun.

Pelaksanaannya akan menjadikan kadar gaji di negara ini kompetitif, sekali gus setanding dengan negara lain di rantau Asia Tenggara.

Bayaran upah di Malaysia antara terendah di rantau ini apabila majikan hanya membelanjakan 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk gaji.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dijangka mengumumkan perincian mengenai mekanisme dan pelaksanaan gaji minimum dalam masa terdekat.

Dari satu sudut kebajikan, penetapan gaji minimum adalah keputusan tepat kerajaan dalam usaha menjaga kebajikan pekerja, terutama kategori B40 yang terhimpit dengan kesukaran kelangsungan kehidupan pasca COVID-19.

Peningkatan kos sara hidup, terutama ketika negara berhadapan ancaman COVID-19 menyebabkan rakyat tertekan dan terbeban.

Kehilangan pekerjaan, pengurangan gaji, pembekuan kenaikan tahunan dan bonus serta pemotongan elaun seperti elaun kerja lebih masa menambahkan lagi beban mereka.

Justeru, penetapan gaji minimum ini dijangka akan meningkatkan kuasa beli rakyat, seterusnya menyumbang peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan mereka.

Peningkatan kuasa beli rakyat membantu merangsang ekonomi negara menerusi peningkatan permintaan barangan dan perkhidmatan domestik.

Keputusan kerajaan juga dilihat akan membantu mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam sektor tertentu yang terjejas susulan kerancakan dan tarikan ekonomi gig yang menjadi pilihan generasi muda.

Situasi seperti ini sudah tentu menyebabkan negara terpaksa bergantung kepada pekerja asing untuk menampung kekurangan.

Penetapan gaji minimum ini bukan keputusan mudah selepas mengambil kira reaksi pemegang taruh seperti Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) yang rata-rata tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Bagi mereka, pelaksanaan kadar gaji baharu menambahkan beban kewangan dalam bentuk kos operasi kepada syarikat dalam proses pemulihan perniagaan akibat COVID-19.

Mereka berpandangan sekarang bukan masa sesuai pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dan perlu ditangguhkan sementara sehingga ekonomi kembali pulih.

Kebimbangan majikan mengenai peningkatan kos operasi disebabkan penetapan gaji minimum RM1,500 boleh mengakibatkan pemberhentian pekerja.

Namun, ia mungkin tidak berlaku secara ketara dalam jangka panjang selepas mengambil kira perkembangan terkini dijangka membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Perniagaan dijangka mendapat manfaat besar daripada pembukaan semula sempadan negara, kemasukan semula pekerja asing dan pemeteraian Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang meningkatkan perdagangan serta akses pasaran lebih luas antara negara anggota.

Perlu diingat, kerajaan menetapkan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu ini hanya membabitkan majikan syarikat besar terlebih dahulu, manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi ditangguhkan selepas mengambil kira kemampuan kewangan mereka.

Hasrat penetapan gaji minimum baharu bertujuan menjaga kebajikan golongan pekerja B40 hanya tercapai sekiranya beberapa perkara diambil perhatian serius pihak berkenaan.

Pertama, penetapan gaji minimum RM1,500 menyebabkan kenaikan gaji sebanyak 25 peratus daripada kadar sedia ada dan ini mempunyai kesan rantaian.

Kerajaan perlu memastikan pihak berkenaan tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan gaji ini untuk menaikkan harga barang kerana ia menjejaskan kuasa beli rakyat, seterusnya mengakibatkan kenaikan kadar inflasi.

Kedua, penetapan gaji minimum perlu menyeluruh membabitkan semua sektor walaupun pada masa ini kerajaan mengecualikan sektor tertentu.

Sektor tidak melaksanakan gaji minimum RM1,500 mungkin tidak lagi menarik minat golongan pekerja dan mereka mungkin berhijrah ke sektor lain yang menawarkan gaji lebih tinggi.

Situasi ini sudah tentu menyebabkan sektor berkenaan menghadapi masalah kekurangan pekerja, seterusnya menjejaskan perniagaan mereka.

Penetapan gaji minimum juga sepatutnya sama untuk semua kawasan kerana kos sara hidup di bandar dan luar bandar meningkat sejak kebelakangan ini. Penghijrahan pekerja dari luar bandar ke bandar juga dapat dielakkan.

Ketiga, produktiviti pekerja perlu sentiasa dipantau serta dipertingkatkan supaya kenaikan gaji diimbangi tahap produktiviti setimpal merugikan majikan.

Kebimbangan majikan mengenai kemampuan kewangan apabila gaji minimum dilaksanakan juga perlu diberi perhatian.

Majikan mungkin perlu dibantu menyerap peningkatan kos upah melalui insentif tertentu dan program subsidi seperti Program Subsidi Upah (PSU). Bantuan seperti ini wajar diteruskan sekurang-kurangnya hingga ekonomi kembali pulih.

Keempat, dengan kemasukan semula pekerja asing bagi semua sektor pekerjaan terpilih, majikan mungkin memberikan keutamaan untuk menggaji pekerja asing dalam sektor tertentu seperti sebelum ini.

Sehingga 16 Mac lalu, sebanyak 313,014 permohonan pekerja asing diterima membabitkan sektor perkilangan (193,346), perkhidmatan (48,119), pembinaan (27,331), pertanian (7,248) dan perlombongan dan kuari (20).

Perkara ini perlu dipantau rapi kerana kenaikan gaji minimum sepatutnya dinikmati pekerja tempatan, bukannya pekerja warga asing.

Justeru, jumlah penggajian pekerja asing dalam sektor ditetapkan perlu dihadkan supaya hak dan peluang pekerja tempatan terbela.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

-BH

Comments (0)
Add Comment