Empat nelayan warga asing ditahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Empat nelayan warga asing ditahan bersama sebuah bot nelayan tempatan kelas C oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang kira- kira 1.0 batu nautika tenggara Kuala Kuantan, di sini semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, penahanan itu dilakukan ketika bot ronda Maritim Malaysia melaksanakan rondaan Op Makmur di sekitar perairan Kuala Kuantan pada jam 1.30 petang.

Katanya, tindakan itu dilakukan selepas mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri sebaik dihampiri aset Maritim Malaysia.

“Bagaimanapun, bot berkenaan berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati empat kru termasuk tekong warga Myanmar berumur antara 27 hingga 36 tahun disyaki melakukan kesalahan kerana permit kerja tamat tempoh serta dokumen Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang mencurigakan.

“Semua warga asing bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan seberat satu tan ditahan dan diiringi masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Kuantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

“Kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melanggar syarat lesen dan syarat pas kerja,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Amran berkata, Maritim Malaysia juga meminta orang ramai terutama nelayan tempatan supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373