Enam pemancing ditemukan selamat 50 batu nautika dari utara Pulau Tioman

Estimate Reading Time: 2 minutes

KEMAMAN, 26 Mac — Bot dinaiki enam pemancing dari Terengganu yang dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi sejak Isnin lepas ditemukan dalam keadaan selamat 50 batu nautika dari utara Pulau Tioman, Pahang pada 8.30 pagi tadi.

Komander Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kemaman Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata mereka didapati tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa menaiki bot Kilat 49 ke Jeti Kuantan untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dihantar ke Zon Maritim Kemaman.

“Pesawat udara Maritim Malaysia AS365N3 Dauphin yang sedang melaksanakan tugas pencarian melalui udara telah mengesan bot mangsa sedang ditunda oleh sebuah bot nelayan tempatan di sekitar lapan batu nautika dari Kuala Kuantan.

“Mereka kemudian menghubungi bot Maritim Malaysia untuk segera ke lokasi bagi membantu serta mengiringi mangsa masuk ke jeti Kuantan… dengan penemuan itu, Sub Pusat Penyelaras Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan telah mengumumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam mangsa tersebut ditamatkan,” katanya dalam sidang media di jeti Kuala Kemaman hari ini.

Isnin lepas, tekong bot Mohd Hafizol Hisham Zakaria, 29, bersama lima lagi iaitu Mohamad Shahrul Ainmie Abdullah, 19, Mohd Samerin Suhaimi, 29, Muhammed Hazim Luqman Zakaria, 19, Rosidi Mohamad, 22, dan Mohamad Zukarnain Mohamat Nor, 20, turun ke laut untuk memancing dan dijadualkan pulang keesokannya.

Bagaimanapun, mereka gagal dihubungi sejak petang Isnin menyebabkan keluarga masing-masing membuat laporan kepada Maritim Malaysia pada Selasa dan SAR dilancarkan sejurus selepas itu.

Rashidilhadi berkata berdasarkan maklumat awal, bot dinaiki enam pemancing itu dipercayai mengalami kerosakan pada bebaling kipas menyebabkan ia terapung dan hanyut dibawa arus sebelum ditemukan nelayan tempatan yang berpangkalan di Jeti Persatuan Nelayan Pahang (Penerpa).

Beliau juga berkata siasatan lanjut akan dibuat bagi mengenal pasti punca kejadian itu dan sama ada terdapat sebarang pelanggaran syarat lesen bot atau kecuaian pemilik bot.

“Siasatan awal kita mendapati bot ini tidak mempunyai lesen yang sah untuk membawa pemancing rekreasi ke tengah laut.

“Siasatan akan dijalankan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8(B) dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) kerana beroperasi tanpa lesen,” katanya.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373