Equalbase Sunway 103° sasar capai GDV RM8b

Estimate Reading Time: 2 minutes

Iskandar Puteri: Syarikat konglomerat terkemuka ASEAN, Sunway Group bersama syarikat yang beribu pejabat di Singapura, Equalbase akan membangunkan sebuah perdagangan bebas logistik yang dikenali sebagai Equalbase Sunway 103°.

Gudang yang menyediakan kemudahan logistik di bawah polisi Zon Perdagangan Bebas (FCZ) ini dijangka mampu mencapai RM8 bilion nilai pembangunan kasar (GDV).

Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah, berkata gudang berkeluasan 55 hektar ini mampu menampung pelbagai inventori, seperti industri barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), peruncitan, e-dagang, automotif, farmaseutikal dan industri teknologi.

“Ia menjadi hasrat Equalbase dan Sunway untuk mempromosikan alam sekitar dan piawaian kemampanan, sekali gus mewujudkan lebih 13,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif Equalbase, Nicholas Bischoff, berkata Equalbase Sunway 103°, juga akan menjadi pembangunan mampan yang menggabungkan ciri-ciri mengurangkan karbon, sekali gus memberi manfaat kepada alam sekitar.

Capai pensijilan berprestij

“Sebagai sebahagian komitmen kemampanannya, Equalbase Sunway 103°, akan berusaha untuk mencapai pensijilan berprestij seperti penarafan Emas Indeks Bangunan Hijau Malaysia (GBI).” katanya.

Pembangunan perdagangan bebas logistik itu dibina dalam empat fasa, dengan fasa pertama dijadualkan siap menjelang penghujung 2025.

“Sunway komited untuk menjadikan Sunway City Iskandar Puteri sebagai pusat koridor pembangunan selatan negara dan mengukuhkan status Johor sebagai antara negeri paling maju dari segi ekonomi di Malaysia,” kata Jeffrey.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Equalbase Sunway 103° yang disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di Hotel Sunway Big Box, di sini kelmarin.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; serta Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Equalbase, Christian Bischoff.

Sementara itu, tambah Jeffrey lagi, projek ini bukan sekadar kemudahan bersaiz mega, tetapi mampu menarik pelaburan dari Singapura.

“Equalbase Sunway 103° terletak lima kilometer dari Link Kedua ke Singapura. Lokasi strategik kemudahan itu mampu menjadi sebagai hab utama untuk ruang yang mampan, menyumbang kepada pertumbuhan kedua-dua wilayah dan seluruh ASEAN.

“Kelebihan geografi ini seterusnya mewujudkan 103° sebagai titik fokus untuk aktiviti logistik yang mampan,” katanya.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373