Sunway, UOB bekerjasama capai pelepasan karbon sifar

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Kumpulan Sunway dan UOB Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal menyaksikan kedua-dua syarikat bekerjasama mencapai matlamat bersama dalam mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

Kerjasama ini akan menyaksikan Sunway dan UOB Malaysia memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing untuk mengintegrasikan keperluan penyelesaian pembiayaan lestari, infrastruktur, dan teknologi dalam pelbagai bidang perniagaan di bawah ekosistem Sunway termasuk bidang peruncitan, hospitaliti, penjagaan kesihatan, hartanah, pembinaan dan bahan binaan.

Ini termasuk program dan bengkel pembinaan kapasiti bersama memudah dan meluaskan inisiatif kelestarian bagi penyewa serta pembekal bagi menyediakan penyelesaian pembiayaan lestari untuk memulakan pelaburan dalam infrastruktur yang lebih lestari, serta usaha menangani pelepasan karbon Skop 3.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Sunway, Sarena Cheah, berkata MoU ini adalah satu langkah penting bagi Sunway dan UOB Malaysia dalam perjalanan bersama kedua-dua syarikat ke arah masa depan rendah karbon.

“Usaha sama kami selama dua dekad adalah bukti nyata terhadap peranan yang boleh dimainkan oleh anggota sektor swasta dalam usaha memajukan agenda kelestarian bersama-sama,” katanya menerusi satu kenyataan.

Cheah memeterai MoU itu bagi pihak Sunway, manakala UOB Malaysia diwakili Ketua Negara Perbankan Korporat dan Perbankan Borong, Anita Tang.

Ia turut dihadiri Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sunway, Chong Chang Choong, dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei.

Sejak 2015, Sunway telah mendukung sepenuhnya 17 Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDGs) dan melangkah lebih jauh melalui pengenalan kerangka penetapan harga karbon dalaman tahun lalu untuk mendorong pencapaian sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

Sunway adalah syarikat pertama di Malaysia, dan antara yang terawal di Asia, yang memperkenalkan strategi pengurangan karbon yang kukuh dalam perniagaannya.

Begitu juga, sebagai antara yang terawal menerima ESG, UOB telah membangunkan kerangka dan penyelesaian pembiayaan lestari yang komprehensif dan terkemuka di pasaran untuk membantu syarikat-syarikat di ASEAN dalam usaha dekarbonisasi masing-masing, justeru saling maju ke arah sasaran pelepasan karbon sifar.

Sementara itu, Wei Wei berkata UOB berbesar hati dapat bekerjasama dengan Sunway, sebuah organisasi yang berkongsi matlamat bersama untuk seiring mendorong cita-cita pelepasan karbon sifar bank itu.

“Kerjasama hari ini melambangkan kekuatan perpaduan dan semangat kerjasama yang diperlukan untuk menjayakan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.

“Kami bangga dapat menyumbangkan penyelesaian pembiayaan yang lestari, kerangka kerja serta kepakaran dalam kerjasama ini untuk menyokong perniagaan pelbagai bidang di Sunway dan juga rakan-rakan ekosistemnya dalam perjalanan dekarbonisasi mereka,” katanya.

MOU itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam beberapa tahun akan datang.

Rakan kongsi, penyewa, dan pembekal Sunway berpeluang memanfaatkan instrumen kelestarian dalam talian UOB Malaysia dalam beberapa bulan akan datang untuk merangka pelan tindakan mereka.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373