Guna jaring ikan sorok dadah RM5.1 juta

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor mematahkan cubaan menyeludup dadah disyaki syabu sebanyak 100 kilogram bernilai RM5.1 juta yang disorok bersama jaring ikan dalam bot memancing malam tadi.

Bot gentian kaca itu berjaya dikesan dalam rondaan Op Jaksa di Perairan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Pasir Gudang kira-kira jam 9.45 malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim, Kamaruszaman Abu Hassan, berkata individu yang mengendalikan bot itu bagaimanapun meloloskan diri di kawasan paya bakau berhampiran.

“Bot Maritim Malaysia mengesan kehadiran sebuah bot yang mencurigakan dan disyaki sedang bergerak keluar dari muara Sungai Boh ke perairan Tanjung Piai, Pontian disyaki menuju ke sempadan Malaysia dan Indonesia.

“Menyedari kehadiran bot pihak berkuasa, bot berkenaan memadamkan lampu serta memecut laju ke kawasan paya bakau berhampiran. Penyeludup itu berjaya melarikan diri ke dalam paya bakau dengan meninggalkan botnya di kedudukan lebih kurang 0.5 batu nautika barat daya perairan Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini.

“Kita percaya individu berkenaan dalam perjalanan menghantar semua dadah itu keluar ke sempadan negara untuk dihantar ke negara jiran.

“Hasil pemeriksaan mendapati dadah itu ditemui dalam empat bag pakaian dan satu kotak. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 98 paket bungkusan teh Cina yang mengandungi serbuk kristal, dipercayai dadah jenis syabu.

“Setiap bungkusan teh Cina itu dianggarkan seberat satu kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor di sini, hari ini.

Kamaruszaman berkata, rampasan itu adalah kejayaan kali keenam dan terbesar Maritim Malaysia Johor.

Katanya, bot gentian kaca bersama enjin 25 kuasa kuda bernilai RM12,000 dan muatan itu dirampas dan dibawa ke Maritim Malaysia Johor.

“Kita sedang menyiasat sama ada penyeludup ini adalah sindiket sama dengan sindiket penyeludupan dadah yang kita tumpaskan di Pulau Pinang pada 7 Disember lalu dengan nilai terbesar tahun ini RM10.53 juta.

“Kalau ikutkan pek teh Cina yang digunakan untuk membungkus dadah adalah sama tetapi semua masih dalam siasatan, termasuk modus operandi mereka”, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -BERITA HARIAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373