Hampir 6,000 calon SPM 2022 di Sabah tidak menduduki peperiksaan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah diarah mengenal pasti punca hampir 6,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sabah tidak hadir menduduki peperiksaan itu yang diadakan pada awal tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata berdasarkan laporan sebelum ini, hanya seramai 34,461 daripada 40,147 calon yang mendaftar di Sabah menduduki SPM 2022.

Katanya, kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu itu kerana SPM adalah peperiksaan penting untuk masa depan anak Sabah sebelum melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

“Berapapun jumlah pelajar yang tidak menduduki SPM 2022 di negeri ini, ramai atau tidak, saya mahu Jabatan Pendidikan Negeri mengenal pasti kenapa mereka tidak hadir dan apa alasan mereka.

“Perkara ini membimbangkan kerana SPM adalah penting untuk pelajar mencorak masa depan mereka. Saya mahu pelajar dari Sabah yang tidak menduduki SPM 2022, ambil peluang untuk berbuat demikian pada tahun ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) Siri Ke-34 kepada 40 pelajar, di Menara Tun Mustapha, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan kira-kira 30,000 calon SPM 2022 tidak menduduki peperiksaan itu di seluruh negara, dengan 10,000 daripada mereka mendaftar untuk mengulang pada SPM tahun ini.

Hajiji berkata, walaupun berlaku peningkatan 0.13 peratus dalam Gred Purata Nasional (GPN) keputusan SPM 2022 bagi negeri Sabah kepada 5.22 mata berbanding 5.35 mata pada 2021, namun masih jauh berbanding GPN kebangsaan sebanyak 4.74.

Pada masa sama, katanya jurang antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini juga melebar daripada 0.53 mata pada 2021 kepada 0.61 mata pada 2022.

“Kerajaan Negeri mengambil berat mengenai isu ini dan ia harus diteliti secara terperinci bagi mengenal pasti punca kelemahan yang wujud,” katanya.

Dalam hal lain, Hajiji berharap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memuktamadkan penurunan kuasa dalam bidang pendidikan dan kesihatan kepada Kerajaan Negeri seperti yang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau yang menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai penurunan kuasa itu, berkata dengan mempunyai lebih autonomi akan memastikan sistem pendidikan negeri ini terus maju seiring di Semenanjung.

Katanya, penurunan kuasa itu yang tertumpu kepada aspek pentadbiran dan pengurusan, memudahkan Kerajaan Negeri untuk melaksana dan mempercepatkan setiap projek pembangunan pendidikan di samping pelantikan perjawatan perguruan.

“Usaha desentralisasi kuasa pendidikan ini juga secara tidak langsung membuktikan kepercayaan Kerajaan Persekutuan kepada jentera Kerajaan Negeri khususnya dalam meningkatkan keupayaan sistem pendidikan di negeri ini,” katanya.

– BH

Comments (0)
Add Comment