LTAT tumpu transformasi tingkat pulangan pelaburan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kini sedang menumpukan trans- formasi bagi pemulihan aset pelaburan dan peningkatan pulangan, pengukuhan tadbir urus serta menambah baik mutu perkhidmatan kepada pencarum Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman, berkata trans- formasi itu bagi memastikan mandat penubuhannya dapat dilaksanakan sewajarnya, termasuk pada akhir 2020, LTAT buat pertama kalinya memperkenalkan Kerangka Perumpukan Aset Strategik (SAA).

Katanya, langkah itu selari fasa transformasi LTAT yang signifikan bagi melonjakkan semula prestasi sebagai sebuah dana persaraan dan salah sebuah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

“Pelaksanaan kerangka baharu yang menjadi panduan untuk mengimbangi dan menstruktur semula portfolio pelaburan sedia ada LTAT, selain ia bakal menjamin pulangan yang mampan dan konsisten kepada pencarum.

“Aset pelaburan turut dipelbagaikan untuk memastikan pelaburan dilakukan dengan berteraskan hala tuju ditetapkan dalam kerangka SAA LTAT serta dilaksanakan pada tahap terbaik bagi meminimumkan risiko kerugian dan menjamin pulangan terbaik,” katanya.

Selain itu Nazim berkata, pelbagai usaha turut digembleng untuk merungkai isu legasi pelaburan yang besar khususnya projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

“Hasil dari komitmen dan kesungguhan LTAT ini, pada tahun lalu, Kabinet meluluskan pembinaan kapal itu diteruskan bagi mengelakkan implikasi kewangan yang besar kepada LTAT, Kumpulan LTAT dan vendor tempatan terbabit dalam pembinaannya.

“Sementara bagi mengimbangi semula portfolio pelaburan LTAT sejajar dengan Kerangka SAA, LTAT melaksanakan pengambilalihan Boustead Holdings Berhad (BHB) pada tahun ini.

“Pengambilalihan ini dilaksanakan bagi memudahkan pengstrukturan semula dan pemulihan nilai seluruh Kumpulan Boustead bagi melindungi dan memperkukuhkan tabung persaraan LTAT supaya memberikan pulangan pelaburan yang mampan kepada pencarum,” katanya.

Pinda Akta 101

Dalam usaha mengukuhkan tadbir urus, Nazim menjelaskan, LTAT mengambil inisiatif meminda Akta 101 dan menubuhkan Jabatan Integriti dan Jawatankuasa Integriti bagi memastikan aktiviti rasuah serta salah guna kuasa tidak berlaku atau dihindar dalam operasi harian organisasinya.

Katanya, menerusi pindaan akta itu, ia bertujuan menambah baik dan meningkatkan tadbir urus supaya dana wang caruman pencarum diuruskan dengan lebih efektif dan selamat.

“Pindaan itu membolehkan empat aspek penting diperkukuhkan dengan ia berkaitan perlindungan ke atas wang caruman anggota, meningkatkan perlindungan keselamatan sosial pencarum, memperkasakan tatakelola LTAT dan membolehkan penyusunan semula serta pengimbangan portfolio pelaburan LTAT.

“Jadi pembaharuan terpenting adalah peruntukan jaminan kerajaan ke atas simpanan tabung persaraan pencarum,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, awal tahun ini, LTAT membangunkan Pelan Anti Rasuah LTAT bagi mengukuhkan kawalan dalaman dalam mencegah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta menggalakkan tadbir urus korporat yang unggul.

“Langkah itu bertepatan seruan kerajaan memastikan negara bebas rasuah serta mengamalkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti dalam operasi,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373