Malaysia terima vaksin satu dos CanSino

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Malaysia akan memulakan pemberian vaksin satu dos apabila menerima sejumlah 200,000 dos vaksin CanSino daripada pembekal CanSino Biologics, China, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kiriman ringkas melalui media sosial, berkata vaksin itu datang dalam bentuk produk siap (finished product).

“(Sebanyak) 3.5 juta dos vaksin CanSino sudah ditempah dengan penghantaran berperingkat. Ini juga adalah vaksin COVID-19 satu dos yang pertama di Malaysia,” katanya.

Setakat ini, profil vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan Februari lalu membabitkan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech (Cominarty), Sinovac (CoronaVac) dan AstraZeneca manakala satu lagi vaksin iaitu Johnson & Johnson juga sudah mendapat kelulusan bersyarat.

Sementara itu, ketibaan vaksin berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.50 pagi dengan penerbangan MAS Kargo menggunakan pesawat MH361 dengan dari Beijing, China disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Dr Mohd Nor Azman Hassan.

KKM dan MOSTI dalam satu kenyataan, berkata Solution Biologics adalah Pemegang Pendaftaran Produk bagi CanSino di Malaysia dan vaksin itu mendapat kelulusan penggunaan bersyarat untuk kegunaan kecemasan di negara ini oleh Pihak Berkuasa Bekalan Dadah (PKBD) pada 15 Jun lalu.

Dengan ketibaan vaksin berkenaan, ia bakal memudahkan pemberian vaksin terutama di kawasan yang rendah akses dan seterusnya membantu Malaysia mencapai sasaran imuniti kelompok seperti yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut garis masa yang ditetapkan.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373