Pemberhentian untuk lindungi pekerja perlu diharamkan, kata MTUC

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Kumpulan pekerja terbesar menggesa Putrajaya mengharamkan pemberhentikan bagi tempoh tertentu kerana ia menjangkakan pekerja yang tidak dilindungi inisiatif subsidi upah berdepan risko diberhentikan kerja.

Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, J Solomon dalam kenyataan berkata pekerja yang berpendapatan antara RM4,000 dan RM8,000 bergantung pada belas kasihan majikan.

Dalam inisiatif itu, sebahagian daripada pakej RM10 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana, majikan diberi subsidi upah antara RM600 dan RM1,200 bagi setiap pekerja yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 selama 3 bulan.

Majikan bagaimanapun mesti mengekalkan pekerja mereka selama 6 bulan.

Solomon berkata mereka yang berpendapatan RM4,000 hingga RM8,000, yang membentuk 30% hingga 40% tenaga kerja SME, boleh kehilangan kerja ketika syarikat mahu mengurangkan kos.

“Penyelesaian segera adalah kerajaan memperkenalkan peraturan pekerjaan kecemasan yang menjadikan pemberhentian tenaga kerja menyalahi undang-undang bagi suatu tempoh yang ditetapkan.”

Solomon berkata MTUC menghargai kakitangan dapat bantuan tunai sekali beri sebanyak RM1,000, tetapi ia tidak cukup untuk mereka melepasi 2 minggu.

“Apa yang segera diperlukan kategori pekerja ini komitmen daripada kerajaan dan majikan bahawa pekerjaan mereka selamat,” katanya, dan menambah kebanyakan pekerja ini menetap di kawasan bandar di mana kos hidup tinggi.

“Pengurangan gaji atau sebarang kehilangan pekerjaan mendatangkan bencana dalam setiap aspek.”

Solomon berkata MTUC sudah menerima kira-kira 300 aduan daripada pekerja yang dipaksa atau “dipujuk” untuk bercuti tanpa gaji atau terima pengurangan gaji dalam tempoh 3 minggu semasa perintah kawalan pergerakan.

“Ini berlaku tanpa pedulikan amaran keras kerajaan bahawa majikan tidak boleh memberhentikan pekerja atau mengurangkan gaji mereka semasa PKP,” katanya, dan menambah aduan setakat ini mungkin baru sebahagian kecil daripada yang sebenarnya.

Beliau menggesa kerajaan mengambil langkah tegas melindungi mata pencarian pekerja daripada majikan tidak berprinsip yang memanfaatkan bantuan kerajaan tetapi masih memangsakan pekerja menerusi beberapa kelemahan.

“Kami terhidu sesuatu apabila PKS membantah pendedahan penyata kewangan untuk mengesahkan kemerosotan prestasi kewangan bagi mewajarkan pemberhentian kerja atau pengurangan gaji.

“Ini boleh diertikan PKS tertentu cuba membuat pengayaan tidak adil dengan secara penipuan menuntut bantuan atau subdidi kerajaan.”

MTUC bimbang PKS dibenarkan untuk merundingkan semula kontrak pekerjaan dengan pekerja, termasuk pilihan untuk pengurangan gaji dan cuti tanpa gaji semasa PKP.

“Kemurahan hati perdana menteri pada PKS menjejaskan kepentingan pekerja yang kini berdepan risko pengurangan upah kepada gaji yang sedia ada kecil kerana PKP tidak membolehkan mereka membuat kerja lebih masa atau mendapat elaun.”

Memberikan majikan ruang untuk menulis semula kontrak pekerjaan pada ketika ini akan membawa kesan buruk pada kehidupan pekerja.

“Walaupun kerajaan berkata kontrak yang disemak itu harus dipersetujui bersama, umum tahu majikan mempunyai taktik halus untuk memaksa pekerja akur, termasuk ancaman pemberhentian kerja atau skim pemisahan sukarela.”

Beliau menyeru kerajaan menarik balik kelulusan untuk kaji semula kontrak pekerjaan, mengatakan kontrak sedia ada mesti dihormati.

“Pekerja tidak patut jadi sasaran mudah untuk mengurangkan kos ketika majikan dapat manfaat daripada bantuan kerajaan semasa susah dan memberikan upah rendah kepada pekerja semasa senang.”

Dengan bantuan yang ditawarkan kepada PKPS, daripada tunai kepada pinjaman faedah sifar, tanggungjawab kini pada syarikat untuk selamatkan perniagaan dan melindungi pekerjaan pekerja, katanya.

“Dakwaan tidak mampu dari segi kewangan untuk membayar upah di sebalik segala bantuan daripada kerajaan akan diertikan sebagai penipuan.

“Jika mereka berdepan sebarang kekurangan, mereka harus gunakan cara dalam pelbagai pakej kewangan kerajaan untuk mengekalkan pekerja dan cukuplah dengan segala alasan untuk berhentikan pekerja atau kurangkan gaji.” – FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373