KUALA LUMPUR, 3 November 2026 (The Capital Post) – Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 terus memainkan peranan penting dalam mengangkat mutu penerbitan, karya kreatif dan bakat industri penyiaran negara, sekali gus menyokong perkembangan ekonomi kreatif Malaysia.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil, berkata sokongan daripada 20 penaja korporat dan rakan strategik dengan nilai sumbangan hampir RM3 juta mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap potensi komersial ASA.
Beliau berkata demikian ketika tampil dalam siaran langsung program Apresiasi Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 bersama Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Ashwad Ismail, menerusi TV2, RTM pada 31 Oktober lalu di Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur.
Dalam sesi berkenaan, Bahria turut menekankan potensi industri penyiaran dan kandungan kreatif sebagai pemacu Ekonomi Jingga negara melalui penjanaan pelaburan, peluang pekerjaan, harta intelek (IP) serta eksport.
Beliau turut menyentuh peruntukan lebih RM130 juta menerusi Belanjawan 2027 serta Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM15 juta bagi tahun 2026 yang merangkumi penerbitan televisyen dan kandungan platform penstriman OTT.
-Advertisement-
Pada masa sama, Bahria merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, atas sokongan dalam menjayakan ASA 2026.
Penghargaan turut diberikan kepada warga kementerian, agensi berkaitan khususnya RTM serta rakan strategik yang terlibat dalam penganjuran anugerah berkenaan.
Siaran tersebut turut menampilkan barisan pemenang ASA 2026 yang berkongsi pengalaman, pencapaian dan aspirasi mereka dalam industri penyiaran negara.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Komunikasi, ASA 2026 menjadi platform pengiktirafan terhadap kecemerlangan industri penyiaran, selain memperkukuh pembangunan bakat dan kandungan kreatif tempatan – The Capital Post