Belanjawan 2024: Bantu B40, M40 dapatkan perlindungan takaful berpatutan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Persatuan Takaful Malaysia (MTA) berharap agar kerajaan dapat memperluaskan lagi tawaran inisiatif pelan perlindungan takaful yang berpatutan dan bersesuaian kepada golongan B40 dan M40 dalam Belanjawan 2024.

-Advertisement-

Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed, berkata terdapat jurang perlindungan dalam segmen ini yang perlu diberi perhatian selepas pandemik COVID-19.

“Masih ada lagi jurang perlindungan untuk sesetengah segmen tertentu dan mereka ini terdiri daripada kumpulan B3 dan B4 daripada B40, juga dari M1 dan M2 daripada M40 yang begitu terkesan dengan COVID-19 dan perlu dibantu dari segi perlindungan takaful.

“Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan pekerja gig dan ibu bapa muda, dan sekiranya terlibat dalam kemalangan, mereka akan kehilangan punca pendapatan dan perlu perlindungan yang bersesuaian dengan harga mampu milik,” katanya kepada Bernama.

Ambang pendapatan bagi kumpulan B3 ialah RM3,171 hingga RM3,970 dan B4 pula sebanyak RM3,971 hingga RM4,850.

Manakala, ambang pendapatan bagi kumpulan M1 ialah sebanyak RM4,851 hingga RM5,880 dan M2 pada RM5,881 hingga RM7,100.

Sebelum ini, pada 2017, kerajaan terdahulu ada memperkenalkan inisiatif pelan perlindungan takaful untuk kumpulan berpendapatan rendah dikenali sebagai Perlindungan Tenang yang ditawarkan oleh sembilan pengendali takaful merangkumi manfaat kematian, hilang upaya kekal, perbelanjaan perubatan, penyakit kritikal serta badal haji.

Selain itu Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) menerusi kerjasama dengan penyedia insurans dan takaful juga dilancarkan pada 30 Sept, 2021, dengan tawaran baucar sebanyak RM75 untuk membantu pembelian pelan berkenaan.

-Advertisement-

Namun, PTV tidak lagi diteruskan kerana kadar tuntutan bagi skim perlindungan sosial terlalu sedikit iaitu hanya 490 individu atau 0.01 peratus yang mendapat manfaat program itu berbanding peruntukan RM354 juta yang disediakan.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Khoo Ai Lin berharap agar kerajaan dapat menyediakan peruntukan secukupnya untuk menyokong Perlindungan Tenang.

“Kami berharap mendapatkan bajet untuk menyokong Perlindungan Tenang dalam bentuk lain atau insentif supaya kita semua secara kolektif dapat mencapai kadar penembusan insurans 75 peratus di Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Radzuan menyarankan kerajaan untuk menyediakan inisiatif skim takaful bagi industri agrikultur yang bertujuan memastikan semua pihak terbabit dalam industri itu dilindungi pada masa hadapan.

“Kerajaan telah menyediakan sejumlah besar peruntukan untuk pencegahan banjir akibat perubahan iklim, tetapi mereka juga boleh bekerjasama dengan industri insurans dan takaful untuk menyediakan perlindungan kepada industri pertanian,” katanya.

-BERNAMA
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373