Segerakan reformasi sistem kesihatan hadapi pandemik baharu

Estimate Reading Time: 3 minutes

Ketika dunia kembali normal selepas lebih kurang tiga tahun berhadapan pandemik COVID-19, saintis dan pakar kesihatan awam baru-baru ini mengeluarkan amaran dunia perlu bersedia untuk berhadapan dengan wabak baharu yang lebih serius bakal melanda. Namun, mereka tidak tahu apakah penyakit itu.

-Advertisement-

Saintis menganggarkan sekitar 1.67 juta virus masih belum ditemui, wujud dalam spesies mamalia dan burung. Daripada jumlah itu, kira-kira separuh daripadanya berpotensi berjangkit kepada manusia. Setakat 2018, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan nama untuk wabak masa depan tidak diketahui ini sebagai ‘penyakit X’.

WHO menjelaskan penyakit X merujuk kepada ‘pengetahuan potensi wujud wabak antarabangsa serius disebabkan patogen masih tidak diketahui pada masa ini, akan menyebabkan penyakit kepada manusia’. Setahun selepas penamaan itu, COVID-19 dikenal pasti sebagai yang pertama dalam kategori ‘misteri’ diberi amaran saintis.

Kewujudan penyakit X yang dibincangkan sejak 2018 berkemungkinan besar berasal daripada virus, bakteria atau fungi. Terdapat spekulasi mengatakan ia adalah bawaan daripada spesies haiwan dan berjangkit atau berpindah kepada manusia.

Maklumat WHO ini memberikan isyarat jelas supaya manusia bersedia lebih awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan berhadapan ancaman wabak baharu dan krisis kesihatan yang bakal berlaku pada bila-bila masa.

Ebola, HIV-AIDS, anjing gila dan COVID-19 misalnya, semua berasal daripada haiwan dan kini menjangkiti manusia, memberi gambaran jelas jenis ancaman kesihatan perlu dihadapi dan bersedia untuk melawan.

Manusia tidak perlu tinggal di zon tropika atau kawasan panas untuk terdedah kepada risiko penularan. Hal ini disebabkan pemacu utama kepada penyakit X kini berkemungkinan berpunca daripada aktiviti atau kesan tebus guna tanah, penebangan hutan, pertambahan populasi serta perdagangan hidupan liar. Aktiviti sentuhan menyebabkan berlaku jangkitan kepada manusia, seterusnya penularan penyakit X.

Walaupun tidak banyak data dikemukakan berhubung penyakit X ini, amaran awal dikeluarkan WHO dan pakar kesihatan awam perlu diambil perhatian serius semua pihak.

Sebagai respon kepada laporan media antarabangsa berhubung perkara ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan Malaysia sentiasa bersedia berdepan apa sahaja kemungkinan pandemik berlaku pada masa depan, termasuk ancaman penyakit X.

Namun, realitinya ancaman ini belum dibincangkan pada peringkat menteri kesihatan dunia bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mengambil iktibar daripada beberapa insiden terdahulu, iaitu pandemik selesema Sepanyol (1918-1919) menyebabkan kematian 50 juta penduduk dunia dan COVID-19 (2020-2022) meragut hampir tujuh juta nyawa di seluruh dunia, KKM seharusnya lebih bersedia dan proaktif mulai sekarang bagi meningkatkan kesiapsagaan berhadapan sebarang krisis kesihatan awam bakal berlaku demi kebaikan semua pihak.

Malaysia dan 195 negara lain turut terkesan. Menurut laporan Tabung Kewangan Dunia (IMF) pada 2022, kos pengurusan COVID-19 dunia dianggarkan mencecah AS$12.5 trilion.

Dasar kesihatan harus diubah

-Advertisement-

Di Malaysia, COVID-19 menyebabkan negara berdepan dengan kos rawatan tinggi, iaitu pertambahan peruntukan RM2 bilion kepada RM5 bilion bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada 2021, disebabkan peningkatan kos perolehan vaksin dan perbelanjaan mengurus.

Berdasarkan impak ekonomi serta kesihatan akibat pandemik, sebagai langkah persediaan, beberapa aspek penambahbaikan perlu segera dilaksanakan ke arah mentransformasi sistem kesihatan negara.

Dasar kesihatan sedia ada harus diubah, antaranya dari sudut pendanaan, perkhidmatan, fasiliti dan tenaga kerja mahir bagi menyediakan sistem kesihatan negara lebih mampan dan berdaya tahan.

Pada masa ini, sistem pembiayaan kesihatan sedia ada boleh dianggap rapuh. Negara hanya membelanjakan sekitar 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penjagaan kesihatan rakyat. Ini jauh daripada peruntukan purata ekonomi Asia Pasifik mengalami pertumbuhan tahunan dalam perbelanjaan kesihatan sebenar (sepanjang 10 tahun sebelum ini), iaitu 6.4 peratus daripada KDNK berdasarkan laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Negara perlu memperuntukkan dana kesihatan mencukupi atau lebih, khususnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan krisis kesihatan awam pada masa hadapan. Sistem pembiayaan kesihatan dan sumber manusia harus segera bersiap sedia dari sekarang, bukan menunggu bertindak apabila wabak berlaku.

Cadangan supaya diwujudkan Tabung Kesihatan Negara perlu dipertimbang kerajaan. Menerusi tabung ini, ahli masyarakat, khususnya berpendapatan rendah akan dapat dilindungi dan mendapat akses perkhidmatan kesihatan diperlukan sama ada di klinik atau di hospital swasta sebagai tambahan kepada perkhidmatan kesihatan kerajaan.

Aspek latihan tenaga kerja juga perlu diambil perhatian serius. Peningkatan pakar perubatan sahaja tidak akan membawa kepada akses lebih baik kepada penjagaan dan rawatan kesihatan berkualiti jika isu latihan pakar, ketidakseimbangan pakar dalam sektor awam dan swasta, ketidakadilan agihan jenis kepakaran dan subkepakaran serta ketidakseimbangan geografi pakar tidak ditangani.

Sistem logistik dan bekalan penjagaan kesihatan perlu diperkuatkan. Dalam melangkah ke hadapan, peningkatan pelaburan perlu dibuat bagi pembelian bekalan penjagaan kesihatan bagi melindungi rakyat daripada apa juga wabak masa hadapan.

Kerajaan juga perlu meningkatkan kapasiti latihan latihan pakar dan menjalankan penilaian keperluan jangka panjang untuk mengawal kualiti serta kuantiti pakar perubatan pada masa depan.

Usaha juga harus dilakukan untuk mengekalkan pakar, terutama mempunyai subkepakaran dalam sektor awam. Selain itu, sistem pengurusan sumber manusia yang telus dan berintegriti diperlukan untuk memastikan sistem penjagaan kesihatan saksama dan mampan.

Langkah ini sejajar empat tonggak reformasi kesihatan seperti digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan diluluskan Dewan Negara pada 15 Jun lalu.

Kesiapsiagaan mantap dan komitmen tanpa henti pihak berkuasa kesihatan dan kerajaan akan mengukuhkan penjagaan kesihatan primer rakyat. Menerusi komitmen terhadap penjagaan kesihatan primer rakyat yang lebih baik, sudah pasti sistem kesihatan lebih kukuh dapat dibina untuk melengkapkan mereka dalam menghadapi sebarang wabak atau krisis kesihatan mendatang.
-BeritaHarian