Belia bantu kanak-kanak miskin untuk belajar dalam talian

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Sistem pengajaran dan pembelajaran hibrid (TnL) yang diumumkan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah mengetengahkan masalah yang sudah lama berlarutan –jurang antara pelajar berpendapatan sederhana dan rendah.

-Advertisement-

“Kami sedar bagi ramai pelajar, terdapat jurang yang jelas antara yang kaya dengan yang miskin. Orang miskin menderita kekurangan akses kepada pembelajaran dalam talian,” kata NGO belia Arus Anak Muda.

Justeru, Arus Anak Muda, bersama Hunger Hurts Malaysia dan Consurv Technic, melalui Connect Rakyat sejak 24 Nov tahun lalu mengumpulkan dana untuk membekalkan komputer riba dan peranti tablet untuk pelajar yang memerlukan.

Sasaran Connect Rakyat adalah untuk mengedarkan 100 komputer riba kepada pelajar miskin bandar di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, terutama komuniti miskin bandar di Lembah Pantai dan Kampung Tunku.

“Kami tidak mahu jurang antara kaya dan miskin semakin melebar,” kata pengarah pemasaran Arus Muda Arif Roslan.

Katanya, kumpulan itu, yang terdiri daripada sembilan belia berusia antara 18 dan 35 tahun, telah mengumpulkan RM53,500.

Sebelum mereka mula mengumpulkan dana, kata Arif, mereka melakukan tinjauan dalam kalangan pelajar SMK Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur mengenai pengalaman peribadi mereka dengan pembelajaran dalam talian.

Ramai pelajar melaporkan salah satu daripada tiga masalah utama: tidak mempunyai peranti sendiri, perlu berkongsi peranti dengan ahli keluarga yang lain, atau ibu bapa perlu membawa peranti itu ketika mereka pergi bekerja.

Mereka juga melaporkan sambungan internet yang lemah atau langsung tidak ada.

Melalui tinjauan tambah Arif, NGO tersebut juga mengenal pasti jenis peranti yang diperlukan untuk pelajar yang berbeza.

Katanya, pelajar sekolah rendah dan menengah memerlukan sekurang-kurangnya sebuah Chromebook Google yang purata harganya adalah RM500.

“Itu bergantung kepada tahap pendidikan. Bagi pelajar menengah atas, kami perlu memberi mereka komputer riba dengan spesifikasi yang cukup tinggi untuk mereka memuat turun perisian tertentu.

-Advertisement-

Arus Anak Muda berharap dapat mengedarkan 100 peranti kepada pelajar miskin, terutama di Lembah Pantai dan Kampung Tunku.

“Ini supaya mereka juga dapat bersedia untuk memasuki universiti. Mereka mungkin perlu menggunakan perisian yang lebih rumit. Mereka memerlukan Zoom dan aplikasi lain. Mereka perlu dapat mendokumentasikan apa yang mereka pelajari dan menyerahkan (tugasan) mereka,” katanya.

Oleh itu, pelajar tersebut mungkin memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk peranti dan sambungan yang memenuhi kriteria ini.

“Saya rasa usaha kerajaan tidak cukup kerana masih ramai pelajar mengeluh,” kata Arif.

“Sebagai kumpulan belia, kami perlu meningkatkan kesedaran dan memberi kanak-kanak platform untuk bersuara.”

Beliau berkata, belia bandar khususnya harus berusaha untuk memahami realiti berbeza yang dihadapi oleh remaja dan belia lain yang kurang bernasib baik, dan berusaha bersuara bagi pihak mereka.

“Sebilangan kanak-kanak berpendapatan rendah tidak mempunyai media sosial. Mereka sering tidak dapat bersuara. Organisasi belia mesti menjadi suara untuk mereka.

“Kami juga perlu menyediakan saluran yang diyakini bagi orang ramai untuk membantu,” katanya.

Beliau menyarankan agar kumpulan belia yang ingin membantu bekerjasama dengan NGO yang sudah dikenali untuk mengumpulkan dana.

“Saya fikir media sosial adalah alat penting untuk menyebarkan kesedaran. Ia adalah pusat segala usaha kami sekarang,” katanya.

Eksekutif projek Consurv Technic Norsyuhada Mostar berkata, 36% daripada pelajar di seluruh negara tidak memiliki peranti elektronik.

-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373