Vaksin COVID-19: Dos pertama, kedua jenis vaksin sama – KJ

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memberi dos pertama dan kedua daripada jenis yang sama dalam program vaksinasi COVID-19 yang akan bermula 26 Februari ini.

-Advertisement-

Menteri Sains, teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata dos jenis yang sama diberikan walaupun United Kingdom (UK) kini mahu memberikan dos vaksin daripada jenis yang berbeza untuk dos pertama dan kedua.

Katanya, orang ramai tidak boleh memilih jenis vaksin kerana ia sudah ditetapkan dan semuanya selamat serta terbukti berkesan, sebagaimana diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Katanya, buat masa ini hanya vaksin Pfizer yang diluluskan manakala AstraZeneca, Sputnik V, Sinovac sedang dinilai.

“Laman web khusus untuk vaksin ini akan dilancarkan Selasa ini (esok) yang turut mengandungi maklumat dan fakta mengenainya,” katanya dalam twitter rasmi beliau ketika menjawab pelbagai pertanyaan orang ramai mengenai vaksin itu.

Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama akan bermula 26 Februari ini.

Pada 11 Januari lalu, perjanjian untuk penghantaran fasa pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech

BNT1262b ke seluruh negara dimeterai di antara Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd.

Perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) membabitkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung Februari, meliputi 20 peratus populasi Malaysia dengan dua dos seorang.

Dilaporkan, Malaysia akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech seminggu lebih awal, sebelum bermulanya Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama.

-Advertisement-

Mengulas lanjut, Khairy menjelaskan mereka yang sudah menerima vaksin akan diberikan kad rekod, antara lain mengandungi maklumat jenis vaksin diterima.

Menjawab pertanyaan mengapa pelan imunisasi COVID-19 tidak diwajibkan kepada semua rakyat Malaysia, katanya tidak ada negara yang menjadikannya imunisasi itu sebagai wajib malah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) tidak mewajibkannya.

“Jika vaksin ini diwajibkan mungkin akan menimbulkan persaingan yang lebih besar.

“Apa yang penting kini membina keyakinan umum terhadap vaksin bukannya memaksa orang ramai,” katanya.

Ditanya mengapa Malaysia tidak membeli vaksin dari India yang jauh lebih murah dan bekalan sudah tersedia, katanya Malaysia sedang berbincang dengan India mengenai perkara itu.

Menjawab satu lagi soalan mengapa vaksin tidak diberikan kepada semua rakyat, katanya ini kerana kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tidak akan diberi vaksin pada masa ini kerana belum ada ujian klinikal dilakukan terhadap kanak-kanak.

“Kumpulan ini hanya membabitkan kira-kira 20 peratus daripada jumlah penduduk,” katanya.

-BH