KUALA LUMPUR 19 Julai 2026 (The Capital Post) – Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil menghadiri Majlis Malam Wartawan Malaysia 2026 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS 2025 yang berlangsung di ibu negara sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan pengamal media kepada negara.
Majlis berprestij itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan penghargaan kepada wartawan dan organisasi media atas komitmen mereka dalam menyampaikan laporan yang tepat, beretika serta berintegriti kepada masyarakat.
Pada majlis sama, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) muncul antara penerima utama apabila berjaya membawa pulang 11 anugerah, terdiri daripada tiga anugerah emas, dua perak dan enam gangsa dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2025.
-Advertisement-
Pencapaian tersebut mencerminkan kecemerlangan warga BERNAMA dalam menghasilkan laporan berkualiti serta memperkukuh profesionalisme kewartawanan dan industri media negara.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; serta Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj. – The Capital Post