Bursa Malaysia Dibuka Rendah Walaupun Wall Street Catat Kenaikan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 12 November 2026 (The Capital Post) – Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis berikutan sentimen pelabur yang masih berhati-hati meskipun Wall Street mencatatkan kenaikan dalam dagangan semalaman.

Pada jam 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.16 mata kepada 1,592.03 berbanding 1,595.19 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu memulakan dagangan dengan penurunan 3.61 mata kepada 1,591.58.

Suasana pasaran kekal negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 216 berbanding 109. Sebanyak 255 kaunter tidak berubah, 2,194 tidak diniagakan manakala 13 digantung dagangan.

Jumlah dagangan mencatatkan 253.49 juta unit bernilai RM83.18 juta.

Menurut Apex Securities Bhd, FBM KLCI masih menunjukkan aliran menurun selepas susut di bawah paras psikologi 1,600 mata, manakala pemulihan baru-baru ini gagal mengekalkan momentum kenaikan.

Firma broker saham itu menjangkakan indeks penanda aras terus berdepan tekanan dalam tempoh terdekat susulan kebimbangan terhadap kadar faedah global serta inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Perkembangan tersebut meningkatkan jangkaan terhadap kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah pada Disember, sekali gus berpotensi menjejaskan aliran dana asing ke pasaran sedang pesat membangun.

Pelabur juga dijangka memantau pengumuman Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS yang akan datang, iaitu antara petunjuk inflasi utama menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada Disember.

Di pasaran domestik, Apex Securities menjangkakan pelabur mengambil pendekatan lebih selektif menjelang musim pengumuman keputusan kewangan korporat bagi suku ketiga 2026.

Keputusan kewangan syarikat serta panduan pengurusan dijangka mempengaruhi pergerakan harga saham tertentu, manakala Pilihan Raya Negeri Melaka pada 14 November turut berpotensi menambah ketidaktentuan pasaran dalam jangka pendek.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB susut tiga sen kepada RM7.05, Tenaga Nasional turun enam sen kepada RM12.90 dan IHH Healthcare berkurangan satu sen kepada RM7.72.

-Advertisement-

Maybank kekal tidak berubah pada RM9.95, manakala Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.55.

Bagi saham aktif, Iconic Worldwide dan MMAG Holdings masing-masing naik setengah sen kepada 12.5 sen dan 4.5 sen, sementara Kinergy Advancement dan Avangaad tidak berubah masing-masing pada 37.5 sen dan 29.6 sen.

GIIB Holdings pula susut satu sen kepada 14.5 sen.

Dalam kalangan saham paling untung, United Plantations melonjak 78 sen kepada RM31.02, Sarawak Plantation meningkat 15 sen kepada RM4.08 dan SD Guthrie menambah 13 sen kepada RM6.12.

Keck Seng turut naik tujuh sen kepada RM4.75, manakala Bursa Malaysia meningkat lima sen kepada RM8.24.

Sementara itu, Petronas Dagangan mendahului senarai saham paling rugi selepas merosot 30 sen kepada RM19.22, diikuti Vitrox Corp yang susut 11 sen kepada RM9.95 dan MN Holdings turun 10 sen kepada RM3.88.

Westports Holdings berkurangan sembilan sen kepada RM7.33, manakala Critical Holdings merosot lapan sen kepada RM2.31.

Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas turun 26.24 mata kepada 11,851.54, manakala Indeks FBM Top 100 susut 25.11 mata kepada 11,674.23.

Indeks FBM Emas Shariah merosot 42.31 mata kepada 11,829.14, Indeks FBM ACE berkurangan 14.86 mata kepada 5,291.64 dan Indeks FBM Mid 70 turun 44.98 mata kepada 17,072.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 7.24 mata kepada 18,483.97, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.91 mata kepada 171.53, manakala Indeks Tenaga berkurangan 2.60 mata kepada 786.41.

Sebaliknya, Indeks Perladangan mencatatkan kenaikan 77.06 mata kepada 8,804.99.– The Capital Post