Cinta negara dikurnia keberkatan, dipayungi kesejahteraan

Estimate Reading Time: 3 minutes

PERBEZAAN sering dikaitkan dengan perpecahan. Manusia berpecah-belah dan tidak mampu bersatu disebabkan beberapa perbezaan yang gagal diharmonikan sesama mereka.

-Advertisement-

Hakikatnya bukan semua perbezaan menjadi punca perpecahan, sebaliknya jika ia mampu diharmonikan dengan setiap pihak berperanan mencari titik pertemuan, maka ia akan mewujudkan kebersamaan mendatangkan keuntungan semua pihak.

Malaysia adalah negara terdiri daripada pelbagai bentuk perbezaan khasnya agama, bangsa, budaya, warna kulit, ideologi politik dan sebagainya.

Semua perbezaan ini warna-warni yang menjadikan Malaysia negara unik pada mata dunia. Inilah antara nikmat mesti disyukuri rakyat Malaysia bagi menjamin kesejahteraan kehidupan berterusan.

Islam adalah agama diangkat kedudukannya berbanding agama lain dalam Perlembagaan. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan menjadi resipi penting segala perbezaan dalam negara ini dapat diterima semua pihak.

Sebagai usaha menyerlahkan ajaran Islam menyebarkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan, umat Islam perlu bersama-sama menterjemahkan ajaran Islam dalam kehidupan, meskipun dikelilingi pelbagai perbezaan.

Setiap umat Islam perlu terus menjadi penggerak usaha menyemai semangat cintakan negara. Walau apa pun fahaman yang membezakan setiap rakyat Malaysia, suasana bulan kemerdekaan tidak boleh dirosakkan dengan masing-masing terus bercakaran dan berlebihan dalam mendukung fahaman tersendiri.

Islam mengajar umatnya mencintai tanah air kerana ia memberi kesan ke atas kedudukan Islam yang perlu diamalkan dengan sempurna. Rasulullah SAW sendiri berusaha membina sebuah negara kuat dan harmoni dimulai dengan usaha hijrah dari Makkah ke Madinah.

Pembinaan negara Islam Madinah perlu dijadikan model dalam usaha menjadikan negara ini harmoni dalam kepelbagaian warganya. Penduduk Madinah terdiri daripada umat Islam boleh menjalin persefahaman dan permuafakatan dengan golongan Yahudi atas dasar untuk sama-sama memastikan kehidupan makmur dalam kota Madinah. Ini yang perlu diterapkan dalam hidup umat Islam di Malaysia bersama kaum bukan Islam.

Keinginan hidup secara muafakat

Semangat cintakan tanah air boleh meresap dalam diri setiap warganegara sekiranya masing-masing mempunyai keinginan sama untuk hidup secara muafakat. Perbezaan anutan agama dan kepercayaan sepatutnya tidak menjadi cabaran besar kerana masing-masing mengamalkan dasar hormat-menghormati dan tidak mengkhianati orang lain.

Inilah inti pati termaktub dalam Piagam Madinah diketengahkan Rasulullah SAW mencakupi hak dan kebajikan semua pihak, termasuk golongan Muhajirin dan Ansar, serta Yahudi dengan jaminan keselamatan terhadap agama dan harta masing-masing.

Rasa cinta terhadap negara ditunjukkan sendiri Rasulullah SAW apabila Baginda menzahirkan kecintaan itu dan ini diketahui umum. Daripada Anas bahawa: “Nabi SAW apabila kembali daripada perjalanan dan apabila melihat dinding kota Madinah, maka Baginda mempercepatkan untanya. Jika di atas kenderaan lain, maka Baginda menggerak-gerakannya kerana rasa cinta kepada Madinah.” (HR Bukhari)

Selain itu, Rasulullah SAW menzahirkan kecintaannya terhadap Madinah dengan berdoa bermaksud: “Ya Allah, jadikan kami mencintai Madinah seperti cinta kami kepada Makkah atau melebihi cinta kami pada Makkah”. (HR Bukhari)

-Advertisement-

Perasaan cintakan negara tidak boleh hanya dizahirkan dengan usaha sendiri semata-mata, sebaliknya doa mesti sentiasa dimohon kepada Allah SWT kerana hanya Dialah berkuasa mengurniakan kesejahteraan dan keamanan terhadap negara ini.

Inilah antara ditunjukkan Nabi Ibrahim AS berdoa memohon kepada Allah SWT menjadikan Makkah sebuah tempat aman lagi makmur.

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, jadikanlah (Makkah) ini, negeri aman sentosa dan berikanlah rezeki daripada pelbagai jenis buah kepada penduduknya, iaitu orang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa kufur dan ingkar maka Aku akan memberi juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”. (Surah al-Baqarah, ayat 126)

Semangat cintakan negara tidak akan dapat disematkan dalam diri rakyat sekiranya masing-masing terbabit dalam pertelingkahan tidak membawa manfaat.

Jika pertelingkahan itu hanya mahu melihat ketidakstabilan urusan orang lain maka ia perbuatan tidak sepatutnya berlaku. Sebaliknya kritikan atas sebarang isu mesti bertujuan menghentikan kerosakan dan memperbetulkan kesilapan supaya seluruh warganegara mendapat manfaat daripada perkara yang betul.

Perkukuh ikatan kebersamaan

Dalam urusan menjaga nama baik Malaysia, setiap warganegara perlu memperkuatkan ikatan kebersamaan kerana ia kunci penting memastikan Malaysia terus aman, sejahtera serta kukuh.

Umat Islam perlu menjadi contoh mempamerkan kesatuan membawa kekuatan. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)

Usaha menyemai rasa cinta kepada negara adalah satu kewajipan dalam diri setiap warganegara khususnya umat Islam. Umat Islam semestinya mempercayai kepatuhan terhadap segala titah perintah Allah SWT termasuk dalam urusan mentadbir negara adalah perkara asas dalam meraih keberkatan-Nya.

Sesungguhnya keberkatan daripada Allah SWT akan sentiasa memayungi penduduk sesebuah negara jika setiap warganya patuh kepada Allah SWT terutama pemimpin.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.” (Surah al-A’raf, ayat 96)

Sempena dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, marilah kita memperkukuh semangat cintakan negara dalam diri masing-masing. Rasa cinta terhadap negara itu kemudian disemarakkan dengan melakukan perkara dapat melestarikan perpaduan rakyat.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA)
-TheStar