Dah 8 dekad guna, Shahidan cadang rehat tanah sawah MADA dua tahun

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) disaran mempertimbang cadangan untuk merehatkan aktiviti penanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selama dua tahun.

-Advertisement-

Cadangan dikemukakan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) selepas mendakwa kawasan sawah padi MADA di Kedah dan Perlis tidak pernah direhatkan sejak digunakan bagi tujuan penanaman sejak 70 hingga 80 tahun lalu.

“Apakah (KPKM) sedar bahawa tanah di MADA sudah tua kerana sudah 70 hingga 80 tahun digunakan sampai sekarang tak pernah berehat.

“Apabila (KPKM) cadang lebih dari itu (penanaman lima kali dan dua musim) saya sokong tetapi selepas tanah itu diberi tempoh rehat… macam tanam tebu selepas 10 tahun ditukar (usaha tanaman lain), tetapi (di MADA) kita 80 tahun dan tak pernah tukar dan tanah ini semakin teruk kerana digunakan racun dan sebagainya.

“Itu sebabnya bila kita masuk kawasan MADA kaki kita akan tenggelam sampai paras lutut… (hakikatnya sekarang) kita (di MADA) hanya bertahan kerana sekarang ini semua peringkat hanya dapat hasil 1.5 tan serelung dan yang disebut (hasil tinggi) itu kerana dapat pengairan elok, tetapi keseluruhannya hanya 1.5 hingga dua tan sahaja serelung,” katanya ketika mencelah pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut cadangan merehatkan aktiviti penanaman bagi kawasan MADA itu, Shahidan berkata kerajaan boleh memanfaatkan subsidi yang diperuntukkan untuk penanaman untuk diagihkan kepada petani terbabit sepanjang tempoh dua tahun itu.

-Advertisement-

“Subsidi yang ada tu diberi kepada petani untuk rehatkan tanah selama dua tahun dan diberi untuk tanam benda lain.

“Orang pun kalau 70 tahun tak boleh melahirkan anak dan kalau padi kita paksa guna baja dan racun masih tak boleh (keluarkan hasil seperti diinginkan) sebab dah terlampau lama,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan akan cuba cari jalan melalui teknologi baharu termasuk mengambil kira pandangan pakar di universiti dan pihak MARDI untuk mencari penyelesaian.

Beliau bagaimanapun berkata, negara termaju di dunia seperti Thailand dan Holand tidak merehatkan tanah untuk penanaman, tetapi bergantung kepada teknologi untuk meningkatkan pengeluaran dan kesuburan tanah.

“Kalau nak direhatkan di seluruh MADA selama dua tahun saya rasa nak bagi subsidi kepada petani itu akan babitkan berbilion ringgit. Saya rasa kita kena ambil kira juga kemampuan kerajaan dalam soal ini,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427