Seremban, 27 April 2026 (The Capital Post) – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mendakwa kini mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri susulan sokongan daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN).
Kenyataan tersebut dimaklumkan menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias pada jam 7.57 malam tadi.
Menurut kenyataan itu, UMNO dan BN Negeri Sembilan mengambil maklum pendirian lima ADUN PN yang bersedia bekerjasama dalam memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri ketika krisis politik yang sedang berlaku.
“Dalam situasi luar biasa ini, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mesti mengatasi segala kepentingan kepartian. Kami bersedia mengetepikan perbezaan ideologi bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan segera,” menurut kenyataan tersebut.
BN turut menegaskan bahawa pendekatan yang diambil adalah bersifat terbuka, pragmatik dan inklusif demi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan negeri.
-Advertisement-
Selain itu, BN percaya bahawa gabungan sokongan majoriti ADUN mampu mewujudkan satu pentadbiran yang lebih kukuh serta mempertahankan adat dan kepentingan negeri.
Sehubungan itu, BN Negeri Sembilan menegaskan bahawa dengan sokongan lima ADUN PN, mereka kini mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Perkembangan ini dijangka terus menjadi tumpuan memandangkan situasi politik Negeri Sembilan ketika ini masih belum mencapai penyelesaian muktamad dan tertakluk kepada proses perundangan serta perkenan pihak Istana. – The Capital Post