Dewan Rakyat Lulus RUU Perlindungan Kanak-Kanak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 1 Julai 2026, (The Capital Post) – Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 pada 30 Jun 2026, sebagai langkah memperkukuh kerangka perundangan negara dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual.

Rang undang-undang tersebut dibentangkan pada Bacaan Kali Kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, sebelum sesi penggulungan perbahasan dan Bacaan Kali Ketiga disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Tuan M. Kulasegaran.

Turut hadir sepanjang sesi pembentangan ialah Ketua Pengarah BHEUU, JPM, Datuk Zamri bin Misman, serta Datuk Thiyagu Ganesan, bersama pegawai-pegawai daripada Sektor Reformasi Undang-Undang, BHEUU, JPM.

-Advertisement-

Pihak BHEUU, JPM turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian dan agensi yang terlibat termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) serta UNICEF Malaysia atas kerjasama, pandangan dan sokongan teknikal sepanjang proses pembentangan rang undang-undang tersebut di Parlimen.

Kelulusan pindaan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem perundangan negara bagi memastikan perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap kanak-kanak daripada sebarang bentuk eksploitasi dan penderaan seksual. – The Capital Post