DSAI Tekankan Kepentingan Nilai Kenegaraan Dalam Pembinaan Negara Bangsa

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 7 Julai 2026, (The Capital Post) – Usaha memperkukuh pembinaan negara bangsa perlu terus diperkasakan menerusi pembangunan insan yang memiliki jati diri kukuh, berintegriti serta menghayati nilai-nilai murni demi meningkatkan martabat Malaysia.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan yang memberi penekanan terhadap kepentingan penerapan nilai kenegaraan dalam membentuk masyarakat yang mempunyai semangat cinta akan negara.

Beliau berkata, pengukuhan nilai tersebut penting bagi memastikan semangat patriotisme terus berkembang dalam kalangan rakyat serta menjadi asas kepada pembinaan negara yang lebih kukuh dan bersatu.

Dalam mesyuarat itu, beliau turut menerima taklimat berkaitan perkembangan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menunjukkan kemajuan positif selain menerima maklum balas baik daripada peserta serta ibu bapa.

-Advertisement-

Menurutnya, PLKN perlu terus diperkasa sebagai platform membentuk generasi muda yang mempunyai disiplin, ketahanan diri dan semangat kenegaraan yang tinggi.

Selain itu, peranan Felo Kenegaraan yang menghimpunkan tokoh serta negarawan daripada pelbagai latar belakang turut diberi perhatian sebagai satu wadah bagi menyumbang pandangan dan idea dalam memperkukuh agenda pembinaan negara bangsa.

Kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap inisiatif yang mampu membentuk rakyat berteraskan nilai murni serta memperkukuh identiti nasional. – The Capital Post