KUALA LUMPUR, 29 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Dua perhimpunan yang berlangsung serentak di ibu negara pada Sabtu berakhir dalam keadaan aman dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan, menurut polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata kedua-dua perhimpunan itu ialah Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 di hadapan Kompleks SOGO dan Himpunan Daulat Tuanku di hadapan sebuah premis tekstil di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Beliau berkata kedua-dua perhimpunan berlangsung antara 1 tengah hari hingga 4.30 petang.
Menurutnya, peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 mula berarak dari hadapan SOGO menuju ke Dataran Merdeka pada 2.30 petang sebelum bertembung dengan kumpulan yang menyertai Himpunan Daulat Tuanku antara 3.10 petang hingga 3.20 petang.
“Semasa pertembungan kedua-dua kumpulan keadaan dilihat agak tegang, namun berjaya dikawal sepenuhnya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui tindakan kawalan keselamatan yang sewajarnya. Tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
-Advertisement-
Ahmad Azwan berkata kumpulan yang menyertai Himpunan Daulat Tuanku bersurai pada 3.50 petang, manakala peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 menamatkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 4.30 petang.
Beliau berkata jumlah keseluruhan peserta bagi kedua-dua perhimpunan dianggarkan seramai 140 orang, dengan 60 orang berhimpun di hadapan SOGO dan 80 orang lagi di hadapan premis tekstil berkenaan.
Seramai 16 wakil peserta turut menyampaikan ucapan sepanjang perhimpunan berlangsung.
Bagi memastikan keselamatan awam dan kelancaran kedua-dua perhimpunan, seramai 129 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi serta pasukan bantuan KL Strike Force ditugaskan menerusi Op Aman. – The Capital Post