Ekonomi menguncup 5.6 peratus 2020, terburuk sejak 1998

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia pada 2020 menguncup 5.6 peratus berbanding pertumbuhan 4.3 peratus yang dicatatkan tahun sebelumnya.

-Advertisement-

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi itu juga adalah penurunan terbesar pernah dicatatkan sejak 1998 iaitu -7.4 peratus.

“Prestasi bagi suku keempat 2020 menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut 3.4 peratus, berbanding berkembang 3.6 peratus pada suku sama 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2020 secara maya, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, penyusutan KDNK negara pada suku keempat 2020 dipengaruhi oleh penguncupan dalam semua sektor ekonomi kecuali pembuatan yang mencatatkan pertumbuhan positif.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan yang juga adalah penyumbang utama kepada aktiviti ekonomi, merosot 4.9 peratus pada suku keempat 2020.

-Advertisement-

“Penurunan ketara sektor perkhidmatan disebabkan penyusutan subsektor berkaitan industri pelancongan akibat sekatan perjalanan, yang menyumbang kepada penurunan ketibaan pelancong asing ke Malaysia serta kekangan pergerakan pelancong domestik dalam negara.

“Secara keseluruhan bagi 2020, bilangan ketibaan pelancong asing menurun secara drastik berbanding 2019,” katanya.

Mohd Uzir berkata, antara subsektor paling teruk terjejas adalah makanan & minuman dan penginapan serta pengangkutan dan penyimpanan yang berkurang sebanyak 5.9 peratus kepada KDNK berbanding 7.3 peratus semasa ekonomi dalam keadaan normal.

-BH