Exco Pulau Pinang didakwa pukul isteri, mengaku tidak bersalah

Estimate Reading Time: < 1 minute

BALIK PULAU, 27 Feb 2026 (The Capital Post) — Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang, Fahmi Zainol, didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dalam satu kejadian yang dilaporkan berlaku minggu lalu.

Fahmi, 35, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Berdasarkan kertas pertuduhan, beliau didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, 35, di kediaman mereka di Bayan Lepas pada 22 Februari lalu.

Kes tersebut didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, serta dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman lebih berat bagi kesalahan melibatkan pasangan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Nazran Mohd Sham, bersama timbalannya Ikmal Affandi Zulkifli dan Lim Jin Hong. Fahmi pula diwakili peguam Shamsher Singh Thind.

Pihak pendakwaan memohon agar mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000, namun pihak pembelaan memohon jumlah yang lebih rendah dengan alasan tertuduh telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan polis.

-Advertisement-

Mahkamah kemudiannya membenarkan Fahmi diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen berkaitan.

Terdahulu, Fahmi dilihat hadir ke mahkamah dengan diiringi pihak polis bagi menghadapi pertuduhan tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan seorang Exco Pulau Pinang telah ditahan polis susulan dakwaan mencederakan isterinya dalam satu insiden di Pantai Jerejak. Beliau ditahan pada hari kejadian sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. – The Capital Post