Handal kendalikan layar di lautan ketika ombak mengganas

Estimate Reading Time: 3 minutes

HUJAN dan angin kuat secara tiba-tiba menyebabkan ombak tinggi ketika berada kira-kira puluhan batu nautika dari daratan memberi cabaran yang bukan sedikit.

-Advertisement-

Sebaliknya, bagi penggemar sukan pelayaran mereka harungi juga dengan strategi tangkas kerana ada kala gelora ombak mengganas sehingga boleh mengancam nyawa, mengelak terjatuh ke laut, kapal terbalik atau karam, jika tersilap percaturan.
Berdepan cuaca tiba-tiba tidak menentu di tengah samudera luas terbentang memerlukan keampuhan mental dan fizikal.

Walaupun, pada awalnya sudah mengetahui meneliti ramalan cuaca dan membaca arah angin, namun kuasa alam semula jadi, siapa yang tahu.

Di Malaysia sukan pelayaran bukan sukan baharu, malah ramai yang sudah berjaya menempa nama di persada dunia termasuk kalangan peserta muda, sejak beberapa tahun lalu.

Jatuh dalam laut ketika pertandingan

Pelajar Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim, UMT, Nur Ainul Izzati Zil Husham, 22, melalui pelbagai cabaran sebelum mampu mengharumkan nama negara dalam sukan pelayaran itu.

Insiden paling buruk pernah dialami, dia pernah terjatuh ke dalam laut ketika menyertai pertandingan sukan pelayaran di Bahrain, namun tidak melunturkan semangat juangnya.

Malah, dia juga penyumbang kepada kejayaan pasukan Pelayar Universiti Malaysia Terenggangu (UMT) ketika mewakili Malaysia berjaya dalam beberapa kejohanan.

“Antaranya, kami pernah mendapat tempat kedua bagi kategori Match Race dan tempat ketiga kategori Fleet Race dalam kejohanan Kapal Layar Kingdom Fleet & Match Race itu yang berlangsung di Bahrain Sailing Club; Al Jazeer Beach, Zallaq, Kingdom of Bahrain, pada Disember tahun lalu,” katanya.

Terjatuh di dalam Laut Al Zallaq

Menceritakan pengalaman terjatuh ke dalam laut, Nur Ainul Izzati ketika itu bersama empat ahli pasukannya baru beberapa minit memulakan pertandingan yang antaranya disertai pasukan dari Perancis dan Bahrain.

“Awalnya suasana laut tenang, secara tiba-tiba cuaca berubah dengan angin bertiup kencang dan ombak semakin membesar membuatkan saya yang sedang bertarung dalam pertandingan sukan pelayaran di Laut Al Zallaq, Bahrain, kapal dikendalikan hilang kawalan.

“Saya terjatuh ke dasar laut yang sangat dalam dengan keadaan air yang sejuk.

“Dalam keadaan sukar, saya tidak panik dan kekal tenang naik untuk berenang dan melonjakkan tubuh sekuat-kuatnya untuk naik ke permukaan laut sebelum terapung-apung menunggu empat lagi rakan sepasukan berpatah balik.

“Syukur… walaupun hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika berada di tengah-tengah Laut Al Zallaq, Bahrain.

“Namun, insiden itu tak menghalang kami meneruskan pertandingan dan berakhir dengan membawa pulang dua pingat untuk negara,” katanya.

Kongsinya, mereka didedahkan aspek penting kapal layar, cara mengendalikannya, belajar mengenai angin dan keadaan laut.

-Advertisement-

“Saya cabar diri keluar daripada zon selesa dan tidak lagi takut dengan sukan air,” katanya.

Kini, pasukannya giat menjalani latihan bagi menyertai FISU World University Championship Sailing di Desenzano Del Garda, Itali, pada Jun ini.

Tidak gentar di lautan

Bagi Presiden Kelab Pelayaran UMT, Mohd Faris Aiman Basri, 22, mengakui awalnya tidak tahu berenang, namun sudah mahir berenang, selain mempunyai lesen menyelam dan bersama pasukan Nur Ainul Izzati mengharumkan nama negara.

Dulu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim, UMT ini, mengakui walaupun tinggal di Pulau Langkawi, dia jarang ke laut kerana tidak pandai berenang.

“Selepas menyambung pengajian di sini, saya berpeluang belajar lebih mendalam mengenai sukan pelayaran yang sangat mencabar.

“Perkara paling asas perlu tahu mengendali dan memasang peralatan kapal seperti layar dan kemudi, selain setiap sistem berkeadaan baik sebelum memulakan pelayaran.

“Perlu utamakan latihan mencukupi, selain aspek keselamatan dan mengetahui keadaan cuaca sebelum turun ke laut,” katanya.

Semangat berpasukan, tahu tugas masing-masing

Dalam pasukan ada lima orang dan semuanya mempunyai tugasan masing-masing dan mereka perlu bekerjasama setiap masa bagi memastikan pelayaran berjalan lancar terutama ketika pertandingan.

“Biasanya, jurulatih menjadi pengemudi kerana sudah mahir. Kru masing-masing akan dilantik bagi mengawal layar besar, layar hadapan, sistem dan pemantau keadaan laluan kapal.

“Jika berlaku sebarang insiden kami semua perlu bersama-sama mengawal keadaan supaya pelayaran berjalan lancar dan di sini kekuatan mental penting,” katanya awalnya dia hanya belajar mengenai kapal layar kerana termasuk dalam subjek kursus diambilnya.

Namun, pada semester kedua, ketika latihan amali di Pulau Bidong, Terengganu, dari situ minat sukan air semakin mendalam.

“Pertama kali menyertai Pasukan Pelayar UMT kejohanan International Yacht Race di Korea Selatan, pada 2022, kami mendapat tempat ketiga, sejak itu saya banyak sertai pertandingan dalam dan luar negara.

“Jun ini, saya dan pasukan akan menyertai FISU World University Championship Sailing di Desenzano Del Garda, Itali dan kini giat menjalani latihan.

“Sukan ini memerlukan stamina tinggi dan latihan fizikal. Jika keadaan laut tidak baik, kami buat latihan di darat menggunakan simulator,” katanya bercita-cita menjadi kapten kapal dagang.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373