Rakyat perlu berfikiran terbuka, keluar daripada mentaliti ‘carrot & stick’ – Rafizi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya rakyat berfikiran lebih terbuka dalam membuat keputusan dan bergerak keluar daripada mentaliti ‘carrot and stick’ (ganjaran dan hukuman) yang mengharapkan ganjaran bagi setiap pelaksanaan program kerajaan, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini, sebagai menjawab pertanyaan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai apa langkah sepadan untuk mengatasi rakyat yang enggan mendaftar sistem Pangkalan Data Utara (PADU).

Mengakui masih ada rakyat yang belum berhasrat mendaftar PADU, Rafizi berkata ia tidak memaksa kerajaan untuk mewajibkan pendaftaran sistem berkenaan bagi warganegara berumur 18 tahun ke atas.

Menyedari hal itu, beliau berkata kerajaan akan terus menggalakkan rakyat negara ini untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat serta data menerusi PADU.

“Sehingga 21 Februari lalu, seramai 3,683,944 warganegara dan penduduk tetap di Malaysia telah mendaftar dalam PADU. Jumlah ini hanya meliputi 16.8 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

“Bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai keperluan untuk mendaftar dalam PADU, tumpuan terus diberi untuk mempergiat dan memperluaskan hebahan mengenai tujuan dan matlamat pelaksanaan PADU.

“Justeru, penerangan yang jelas mengenai usaha ini akan membantu kerajaan melakukan reformasi dalam membentuk minda ke arah masyarakat Malaysia Madani seperti yang dihasratkan.

-Advertisement-

“Amat penting juga untuk rakyat sentiasa bersedia melakukan perubahan, mengutamakan data dan peka kepada perkembangan teknologi dan pendigitalan,” katanya.

Di samping itu, Rafizi berkata strategi komunikasi berkesan juga sentiasa diberi penekanan bagi menarik minat berterusan rakyat negara ini untuk mendaftar sistem berkenaan.

Dengan itu, beliau menuntut peranan Ahli Parlimen untuk bersama-sama membantu kerajaan memberi penerangan kepada rakyat di kawasan masing-masing supaya mereka mendaftar PADU.

“Pada masa ini, semua rakyat menerima manfaat dalam pemberian subsidi secara pukal yang dilaksanakan. Amalan sedia ada ini dilihat kurang efektif yang boleh menyebabkan berlakunya ketirisan dan pengurusan sumber yang tidak optimum.

“Kerjasama daripada semua pihak termasuk Ahli Yang Berhormat amat diperlukan bagi menyampaikan mesej ini ke arah menyokong usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373