Harga RON95, RON97 dan Diesel Turun Bermula Hari Ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA 4 Jun 2026 (The Capital Post) – Kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 4 Jun hingga 10 Jun 2026 selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), susulan penyusutan purata harga pasaran petroleum antarabangsa pada minggu lalu.

 

Berdasarkan pengumuman Kementerian Kewangan, harga petrol RON97 ditetapkan pada RM4.35 seliter berbanding RM4.65 seliter sebelum ini, mencatatkan penurunan sebanyak 30 sen seliter. Harga petrol RON95 pula turun 20 sen kepada RM3.72 seliter, manakala diesel di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM4.67 seliter berbanding RM4.87 seliter sebelum ini.

Walaupun berlaku penurunan harga minggu ini, kerajaan menjelaskan keadaan pasaran petroleum global masih berdepan ketidaktentuan berikutan konflik berterusan di Asia Barat yang memberi kesan kepada rantaian bekalan dan harga minyak mentah dunia.

Menurut kementerian itu, negara-negara pengimport utama di Asia turut meningkatkan pembelian minyak mentah daripada sumber alternatif bagi menampung gangguan bekalan dari Asia Barat. Namun, peningkatan import tersebut masih belum mencukupi untuk menggantikan kehilangan bekalan melalui laluan perdagangan utama yang terjejas.

-Advertisement-

Kerajaan turut memaklumkan bahawa pasaran petroleum global masih berdepan risiko kekangan bekalan fizikal yang boleh memberi tekanan kepada harga minyak mentah dan produk petroleum sekiranya konflik berlarutan dalam tempoh lebih panjang.

Dalam masa sama, Kerajaan MADANI mengekalkan harga petroleum bersubsidi bagi melindungi rakyat daripada kesan turun naik harga pasaran. Harga RON95 di bawah BUDI MADANI (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter, manakala diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan serta di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dikekalkan pada RM2.15 seliter. Harga di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pula kekal pada RM2.05 seliter.

Kerajaan menjelaskan bahawa dengan harga semasa RON95 tanpa subsidi pada RM3.72 seliter, penggunaan penuh kelayakan 200 liter sebulan di bawah BUDI95 akan memberikan subsidi sebanyak RM346 kepada setiap penerima yang layak.

Kementerian Kewangan menegaskan kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemah dalam pengurusan subsidi bagi memastikan keseimbangan antara keperluan fiskal negara, kebajikan rakyat serta jaminan bekalan bahan api yang mencukupi dan stabil. – The Capital Post