Hidung, kepala berdarah demi aksi akrobatik Chingay

Estimate Reading Time: 4 minutes

MALAM kian larut, dalam hujan gerimis tidak dihirau, ratusan pengunjung setia berdiri di kiri dan kanan jalan sepanjang Lebuh Light, berdekatan Padang Kota Lama, Pulau Pinang, hanya kerana mahu menyaksikan aksi lincah akrobatik pasukan Chingay.

Begitulah gambaran ketika Pesta Chingay Pulau Pinang diadakan baru-baru ini, yang dimulakan jam 7 malam dari Jalan Johor di Padang Brown menuju ke Jalan Dato’ Keramat, Jalan Penang, Lebuh Chulia dan Jalan Masjid Kapitan Keling sebelum berakhir di Lebuh Light, kira-kira empat jam kemudian, meliputi jarak lebih lima kilometer.

Chingay berasal daripada dialek Cina Hokkien tempatan iaitu ‘chin yi’ yang bermaksud seni asli.

Menariknya, sungguhpun Chingay ini sinonim dengan kaum Cina, pesona seni itu turut menarik penyertaan pelbagai kaum termasuk Melayu dan India, di Pulau Mutiara ini.

Seorang daripadanya, Shahrul Hafiz Shafiee, 30, yang sudah menyertai Persatuan Chingay Pulau Pinang sejak berumur sembilan tahun, adalah satu-satunya Melayu yang masih menganggotai lagi.

“Bukan mudah, hari-hari saya turun berlatih. Latihan bermula dari jam 7 malam hingga 10 malam dan selepas tiga bulan saya sudah menguasai kemahiran mengimbangi dan menyambut hantaran tiang bendera dibuat daripada buluh menggunakan dahi dan gigi.

“Saya mampu menyambut hantaran tiang bendera seberat tujuh hingga lapan kilogram menggunakan beberapa anggota tubuh lain seperti belakang badan dan dada.

“Paling penting harus tahu ‘baca’ arah tiupan angin yang menentukan haluan tiang bendera. Kalau salah ‘tangkap’ bendera, badan boleh cedera.

“Pernah, hidung dan kepala luka berdarah sebab tersilap langkah. Tapi selepas beberapa hari apabila luka sudah sembuh, saya kembali berlatih,” katanya berkongsi pengalaman mengenai permainan itu.

Bergilir ambil buluh

Lazimnya, satu kumpulan ada kira-kira 18 orang yang dibahagikan kepada tiga pasukan kecil.

Dengan itu semua orang dapat peluang beraksi. Setiap kumpulan ini akan membuat persembahan kira-kira tujuh minit.

Ada yang main peranan jaga buluh, kutip buluh kalau jatuh, ada yang tolong angkat kerusi tangga, ada yang tendang dan ada yang tukang sambut sambil permainannya diiringi beberapa alat muzik seperti gong dan simbal.

Namun, jika perarakan, lebih ramai lagi boleh terbabit dalam pasukan itu dan mereka akan gilir membawa buluh kerana selalunya membabitkan yang perjalanan jauh.

Juara bertahan 9 tahun berturut-turut

Shahrul Hafiz yang didorong oleh bapa saudara (juga terbabit dalam seni permainan ini), menyertai Chingay.

“Tetapi kini bapa saudara sudah meninggal dunia. Selain itu, abang saya juga ikut sekali, dan kini tidak bergiat aktif disebabkan komitmen kerja,” katanya.

Shahrul Hafiz yang tidak pernah ketinggalan menyertai pertandingan Chingay dengan pasukannya, bangga kerana sudah sembilan kali berturut-turut bergelar juara sejak 2009.

“Kali terakhir pertandingan Chingay dianjurkan ialah pada 2018. Pada musim pertandingan, boleh dikatakan hampir setiap hari kami berkumpul berlatih bersama-sama.

“Jika tiada pertandingan, kami berkumpul di Padang Kota Lama pada setiap Sabtu dan Ahad berlatih, pada jam 6 petang hingga 8 malam.

“Tetapi sekarang, sudah lama tiada pertandingan. Kalau ada jemputan persembahan atau acara tertentu kami berlatih seminggu sebelum acara berlangsung,” kongsinya.

Aktiviti riadah pelbagai kaum

Dek kerana minat mendalam terhadap seni Chingay, dia mendapat ‘lampu hijau’ daripada persatuan menubuhkan Pasukan Chingay Sungai Pinang pada 2014.

Chingay boleh dijadikan aktiviti riadah yang menyihatkan, selain memupuk disiplin dan semangat kerja berpasukan serta mengeratkan hubungan rakan dan komuniti setempat.

“Ada menyertai pasukan kami ketika masih bersekolah menengah dan umur mereka sekarang lingkungan 20-an hingga lewat 30-an. Chingay aktiviti kesenian dan sukan yang unik.

“Jadi mereka ini tunjukkan minat dan minta saya ajar mereka selok-belok Chingay. Cuma ketika ini, mereka ini boleh dikatakan ahli bermusim dan saya akan babitkan mereka jika ada aktiviti perarakan Chingay secara besar-besaran,” katanya.

Kini, ada kira-kira 30 ahli, iaitu 20 adalah Melayu dan 10 lagi India.

Kebanyakannya rakannya sejak kecil yang tinggal berjiran di Sungai Pinang

“Majoriti ahli memang berasal dari Sungai Pinang dan sudah lama menetap di situ. Ada sudah berpindah ke tempat lain, tetapi kami tidak terputus hubungan dan akan turun memeriahkan perarakan Chingay.

Kaum India sertai Chingay

Jurulatih Persatuan Chingay Pulau Pinang, G Kumara, 56, berkata kaum India juga juga tidak ketinggalan mempelajari dan menganggotai persatuan itu.

Persatuan itu tidak membabitkan sebarang ritual atau upacara keagamaan.

Katanya, permainan Chingay turut berevolusi dari semasa ke semasa, jika dahulu, tiang bendera digunakan mencecah setinggi 15 meter hingga 18 meter, kini dikurangkan tujuh hingga 12 meter supaya lebih mudah dikendalikan.

Kumara yang mengasaskan Persatuan Chingay Pulau Pinang bersama sahabatnya, Lee Kok Keong, 60, pada 2006 turut menjelaskan, tiada pantang larang atau syarat tertentu dikenakan kepada individu yang ingin menyertai mereka.

Kepala benjol main Chingay

“Semasa kecil, saya kerap melihat perarakan Chingay lalu di hadapan rumah keluarga saya di Jalan Irving yang terletak di pinggir bandar Georgetown.

“Jadi saya mula tiru aksi mereka guna mop lantai, penyapu dan apa sahaja batang kayu yang dijumpai di rumah.

“Saya hanya berpeluang menyertai satu kumpulan Chingay semasa usia 22 tahun. Mula-mula, memang kepala benjol di sana sini tapi saya tidak serik belajar.

“Sebenarnya, gigi saya agak jongang, tetapi sekarang lihatlah semua gigi hadapan sudah masuk ke dalam gara-gara bermain Chingay,” imbaunya sambil ketawa kecil.

Kumara yang dulu aktif bermain ‘kaki hantu berkata, persatuan itu pada masa kini hanya ada seramai 25 ahli yang masih aktif.

Beliau secara peribadi melihat bilangan generasi muda menunjukkan minat untuk berkecimpung dalam bidang secara itu secara serius dalam jangka masa panjang semakin berkurangan.

Gabungan pelbagai teknik akrobatik

Kumara yang kerap jadi juri pertandingan Chingay, berkata seni itu menuntut disiplin dan fokus tinggi bagi mengelak perkara tidak diingini seperti kecederaan dan menitikberatkan keselamatan penonton.

“Setiap orang ada peranan berbeza dan ada ahli antara tujuh hingga 10 orang,” katanya.

Permainan Chingay ini tidak seperti seni persembahan lain.

“Ia menggabungkan pelbagai teknik akrobatik mengikut kreativiti pemain. Aksi paling menarik dan kemas selain tahap kesukaran pergerakan turut menentukan kemenangan dalam satu-satu pertandingan,” katanya.

– BeritaHarian

-Advertisement-

-Advertisement-


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373