Kanak-kanak Palestin takut ke sekolah – UNICEF

Estimate Reading Time: < 1 minute

BANDAR GAZA: Kanak-kanak Gaza, terutama di Jenin dan Nablus semakin kerap menunjukkan gejala trauma selepas hidup dalam situasi pengeboman bertubi-tubi tentera Israel serta ketiadaan tempat berlindung yang benar-benar selamat daripada ancaman peluru tentera Zionis, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

-Advertisement-

Ketua Komunikasi dan Advokasi UNICEF di Palestin, Jonathan Crickx, memberitahu Al-Jazeera seramai 99 kanak-kanak terkorban di Tebing Barat yang diduduki sejak permulaan perang.

“Itu lebih daripada dua kali ganda sepanjang tahun 2022 dan ia berlaku di tengah-tengah peningkatan operasi ketenteraan dan penguatkuasaan undang-undang tentera Israel.

“Ia juga penting untuk diambil perhatian bahawa 600 kanak-kanak turut tercedera,” katanya di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Crickx berkata, 600 kanak-kanak Palestin yang cedera dalam tempoh sama itu turut menyatakan keganasan berkenaan ‘mencipta ketakutan’.

“Begitu ramai kanak-kanak, terutama di Jenin dan Nablus takut untuk pergi ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, di Semenanjung Gaza, dianggarkan 625,000 pelajar tidak dapat menghadiri kelas walaupun untuk tempoh sejam sejak 7 Oktober.

-Advertisement-

Lebih 300 bangunan sekolah sama ada rosak atau digunakan sebagai tempat perlindungan untuk pelarian.

“Jadi, secara keseluruhan keadaan dalam sistem pendidikan adalah sangat membimbangkan dan apa yang benar-benar diperlukan untuk anak-anak pergi ke sekolah ialah gencatan senjata yang berpanjangan.

“Pendidikan adalah tempat terletaknya harapan. Di sinilah kanak-kanak sebenarnya boleh membina masa depan mereka sendiri dan berharap masa depan yang lebih baik,” kata Crickx.

– AGENSI

– BeritaHarian