HKL nafi pegawai perubatannya terlibat sebar aduan surat layang

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Hospital Kuala Lumpur (HKL) menafikan seorang pegawai perubatannya ada kaitan dengan aduan surat layang yang disebarkan menerusi emel Cardio Referral Hospital Serdang bertarikh 9 September.

-Advertisement-

Pengarah HKL Dr Heric Corray berkata, melalui siasatan dalaman pihaknya menafikan dakwaan Dr Nur Ain Abd Razak mengeluarkan kenyataan sebagai penulis emel berkenaan.

“Siasatan mendapati nama beliau digunakan tanpa pengetahuan dan isu yang terkandung dalam emel tersebut adalah palsu dan tidak dikeluarkan olehnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan, susulan insiden itu pegawai perubatan berkenaan membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada 17 September berhubung dakwaan mengaitkannya dengan sebaran emel itu.

-Advertisement-

“Beliau juga mengemukakan surat penafian rasmi kepada pengarah HKL pada hari sama. Maklum balas ini bagi memastikan sebarang penularan berita atau informasi yang tidak sahih dapat dielakkan,” katanya.

Berdasarkan laporan polis bertarikh 17 September yang dilampirkan bersama kenyataan itu, pengadu berkata beliau dipanggil ke pejabat pengarah HKL mengenai 1 emel aduan tidak bernama yang mengatakan berlaku serangan seksual dan rasis secara lisan dan fizikal antara beliau dan ketua jabatannya.

Dalam laporan polis itu, pengadu menjelaskan separuh daripada aduan yang terkandung dalam emel berkenaan yang kononnya dia diserang secara seksual tidak benar sama sekali. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373