Hospital Gaza terima pesakit dalam serba kekurangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

GAZA: Kementerian Kesihatan Palestin mengakui hospital di Gaza bergelut dalam memberikan rawatan kepada pesakit, ketika negara itu bakal berdepan serangan darat dan sekatan berterusan dari Israel.

-Advertisement-

Jurucakapnya, Ashraf Al-Qidra, berkata pihaknya masih tertanya-tanya bagaimana kemudahan perubatan di wilayah itu akan mengatasi masalah kekurangan ubat-ubatan dan bahan api bagi merawat pesakit.

Ini kerana kakitangan perubatan ternyata tidak menang tangan membantu jumlah pesakit yang semakin meningkat, termasuk kanak-kanak yang cedera dalam serangan udara.

“Kami merayu orang ramai untuk pergi ke hospital Shifa, yang terbesar daripada 13 kemudahan perubatan awam di wilayah itu, untuk menderma darah.

-Advertisement-

“Jika hospital berhenti beroperasi, seluruh dunia akan bertanggungjawab ke atas ratusan hingga ribuan nyawa pesakit yang bergantung kepada perkhidmatan kami, terutamanya dari Shifa,” katanya.

Hospital Shifa yang memberi rawatan kepada pesakit di Semenanjung termasuk membabitkan 800,000 penduduk yang tinggal di Gaza City.

Semalam, Pejabat Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menyatakan hospital di seluruh wilayah Palestin hanya mempunyai rizab bahan api yang bertahan hanya lebih 24 jam, menyebabkan ribuan pesakit kini berada dalam keadaan sangat berisiko.

Malah, lebih buruk, menurut doktor, hospital yang sesak juga mengalami kekurangan ubat-ubatan dan bahan api akibat sekatan dari rejim Israel.

“Hanya kes paling kritikal akan menjalani pembedahan kerana tidak ada sumber yang mencukupi” menurut mereka.

Kementerian Kesihatan Palestin, semalam, mengesahkan sekurang-kurangnya 2,750 rakyat Palestin terkorban manakala 9,700 lagi cedera sejak serangan 7 Oktober lalu.

Menurutnya, kira-kira 1,000 lagi penduduk hilang dan dipercayai berada di bawah runtuhan bangunan, akibat serangan.

Israel kini dilaporkan sedang melakukan persediaan bagi melancarkan serangan udara paling dahsyat dan serangan darat di Gaza, iaitu salah satu kawasan paling padat dengan 2.3 juta populasi.

Rejim itu berikrar untuk menumpaskan Hamas sebagai balasan terhadap tindakan pejuang berkenaan melancarkan serangan ke atas Israel sehingga mengorbankan 1,300 penduduknya.
– REUTERS
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373