MELAKA 9 Ogos 2026 (The Capital Post) – Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang, menghadiri International Interfaith Peace Conference (IIPC) 2026 yang berlangsung di Melaka semalam, 8 Ogos 2026, sebagai usaha memperkukuh dialog dan persefahaman antara komuniti berbeza agama, budaya serta latar belakang.
Persidangan anjuran Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN) itu telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, dan menghimpunkan pemimpin agama, pembuat dasar serta wakil masyarakat sivil dari pelbagai negara.
Mengangkat tema “Melaka and Malaysia as a Meeting Point of Faith, Culture, Diversity and Harmony Towards Cohesive Nation Building”, persidangan berkenaan mengetengahkan kepentingan dialog terbuka, saling memahami dan kerjasama rentas komuniti dalam membina masyarakat yang aman serta harmoni.
Persidangan tersebut turut membawa mesej bahawa pembangunan negara bukan hanya bergantung kepada kemajuan fizikal dan ekonomi, sebaliknya memerlukan pembentukan masyarakat yang mampu menghormati perbezaan serta membina hubungan berdasarkan persefahaman dan sikap saling menghormati.
Seiring dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), agenda Pembinaan Negara Bangsa merupakan antara keutamaan strategik negara dalam memperkukuh perpaduan masyarakat. Kepelbagaian agama, budaya dan etnik terus dilihat sebagai kekuatan yang membentuk identiti serta keunikan Malaysia.
-Advertisement-
Penganjuran IIPC 2026 turut mencerminkan kepentingan Melaka dan Malaysia sebagai platform pertemuan pelbagai kepercayaan serta budaya, sekali gus memperkukuh usaha membina sebuah negara yang lebih inklusif dan bersatu.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid, bersama barisan pengurusan tertinggi Kementerian Perpaduan Negara.
Usaha memperluas dialog antara agama dan budaya diharap dapat terus diperkasakan bagi memastikan kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat Malaysia menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa yang aman, stabil dan bersatu. – The Capital Post