Israel banjiri terowong Hamas ketika rundingan damai

Estimate Reading Time: 2 minutes

GAZA: Tentera Israel mahu membanjiri terowong serangan Hamas dengan air laut ketika pertempuran bertambah sengit di Gaza, walaupun negara pengantara sedang berusaha keras menamatkan perang yang hampir memasuki empat bulan itu.

-Advertisement-

Pusat pertempuran paling hebat adalah di Khan Younis, bandar utama selatan Gaza, di mana kawasan penempatan yang luas kini berubah menjadi tanah terbiar berlumpur dengan runtuhan bangunan yang dibom.

Tentera Israel berkata, ia akan menggunakan taktik menyalurkan air laut ke dalam rangkaian terowong bawah tanah Hamas yang luas, digelar sebagai ‘metro Gaza’.

“Ia adalah sebahagian daripada pelbagai alat yang digunakan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk meneutralkan ancaman rangkaian terowong bawah tanah Hamas,” katanya, mengesahkan laporan media.

Pada permulaan perang Israel-Palestin pada Oktober, terdapat 1,300 terowong sepanjang 500 kilometer (km) di Gaza, menurut kajian akademi tentera Amerika Syarikat (AS), West Point.

Terowong itu sudah lama digunakan sebagai laluan penyeludupan manusia, barangan keperluan selain senjata dari Mesir dan kini digunakan untuk serangan hendap oleh pejuang Hamas.

IDF berkata, ramai tebusan yang dilarikan Hamas sudah atau terus ditahan dalam rangkaian terowong yang luas.

Pada Selasa, tentera berkata, ia berhati-hati supaya tidak ‘merosakkan bekalan air bersih bawah tanah kawasan itu’.

Di Khan Yuonis, IDF berkata, tenteranya yang bertempur di blok bandar dan terowong berjaya ‘menghapuskan pengganas ketika pertempuran dan menemui sejumlah besar senjata’.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menuduh Israel ‘menembak peluru hidup dan membaling bom tangan asap’ ke arah orang yang dipindahkan dan kakitangannya dari kereta kebal di hospital Al-Amal di Khan Yunis, namun IDF menafikan dakwaan itu.

Dalam usaha terbaharu untuk menjadi perantara gencatan senjata baharu, pertemuan di Paris pada Ahad antara pegawai tertinggi AS, Israel, Mesir dan Qatar menghasilkan cadangan rangka kerja.

-Advertisement-

Hamas pada Selasa, berkata ia sudah menerima cadangan itu dan melalui akaun Telegramnnya memaklumkan, ia ‘dalam proses meneliti dan menyampaikan maklum balasnya’.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, berkata rancangan semasa termasuk gencatan senjata berperingkat yang akan menyaksikan tebusan wanita dan kanak-kanak dibebaskan terlebih dahulu, dengan lebih banyak bantuan turut memasuki Gaza.

AS juga menyuarakan harapan terhadap perkembangan baharu itu, dengan Setiausaha Negara, Antony Blinken, berkata ‘kerja yang amat penting lagi produktif sudah dijalankan’.

Pegawai dari Pejabat Presiden Israel, Benjamin Netanyahu, turut menyifatkan rundingan itu sebagai ‘konstruktif’, namun menolak usul membesakan ‘ribuan tahanan Palestin’ sebagai sebahagian daripada rundingan menghentikan perang di Gaza.

“Ingin saya tegaskan bahawa kami tidak akan mengundurkan IDF dari Semenanjung Gaza dan tidak akan membebaskan ribuan tahanan. Ini tidak akan berlaku,” katanya.

Di selatan Gaza, penduduk Palestin menanam puluhan jenazah dalam kubur besar selepas pihak Israel menyerahkan jeazah yang digali semula dari kubur asal di wilayah itu.

Tentera Israel tidak memberi maklum balas ketika dihubungi tetapi sebelum ini mengakui menggali semula jenazah penduduk Palestin bagi tujuan mencari tebusan Israel.

– AFP

– BeritaHarian