Isu Pemakanan dan Lombong Kripto di Dewan Rakyat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 16 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan, kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram serta peluasan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) antara perkara yang dijadual dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Rodziah Ismail (PH-Ampang) akan meminta Menteri Kesihatan menjelaskan garis masa penggubalan RUU Pemakanan bagi mengawal pengambilan nutrisi dalam kalangan rakyat.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai objektif dan skop utama RUU berkenaan, anggaran kos keseluruhan serta mekanisme bagi memastikan penglibatan pakar kesihatan, pemain industri, badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat dan pihak berkepentingan lain dalam proses penggubalan serta pelaksanaannya.

Sementara itu, Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) akan meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan punca kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram terus berleluasa di daerah Manjung, Perak, selain faktor yang menyukarkan pihak berkuasa menangkap pengusaha terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) pula dijadual mengemukakan soalan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berhubung perancangan memperluas infrastruktur stesen pengecasan EV ke kawasan luar bandar dan pekan kecil bagi menggalakkan penggunaan teknologi hijau.

Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) turut meminta Menteri Pengangkutan menyatakan langkah penambahbaikan pengurusan keselamatan serta tindak balas kecemasan di semua lapangan terbang jenis short take-off and landing (STOLport) di Sarawak susulan nahas helikopter di Long Lellang pada 8 September lalu.

-Advertisement-

Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat dijadual meneruskan persidangan dengan pembentangan RUU Kewangan 2026 dan RUU Langkah-Langkah Bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2026 oleh Menteri Kewangan untuk bacaan kali pertama.

Persidangan kemudian akan menyambung perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan 2027) pada peringkat jawatankuasa, termasuk sesi jawapan daripada Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan.

Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa akan berlangsung sehingga 26 November, dengan 16 kementerian lagi dijadual menyelesaikan sesi penggulungan masing-masing.

Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15 berlangsung selama 37 hari dan dijadual berakhir pada 8 Disember ini. – The Capital Post