PULAU PINANG, 30 Ogos 2026 (The Capital Post) – Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 di Pulau Pinang menjadi platform menghimpunkan golongan muda dari dalam dan luar negara bagi mengeratkan persahabatan, membina kepimpinan serta memupuk semangat khidmat kepada masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran jambori yang kembali ke Pulau Pinang selepas enam dekad itu membawa tema “Menjejak Warisan Membina Masa Hadapan”, sekali gus mengingatkan generasi muda agar menjadikan warisan sebagai asas dalam membentuk masa depan yang lebih baik.
Menurut beliau, perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) menuntut anggota Pengakap bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi turut berupaya mencipta, berinovasi dan memimpin dengan penuh tanggungjawab.
-Advertisement-
Beliau berkata, kemajuan teknologi perlu disertai nilai akhlak, integriti, kemanusiaan dan semangat berbakti supaya generasi muda dapat memainkan peranan positif dalam pembangunan negara.
Anwar turut berharap semangat persahabatan, perpaduan dan khidmat yang diterapkan sepanjang jambori berkenaan terus menjadi kekuatan kepada generasi muda Malaysia dalam membina masa depan negara. – The Capital Post