JDN Perkukuh Integriti dalam Perkhidmatan Digital

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 19 Oktober 2026 (The Capital Post) – Jabatan Digital Negara (JDN) memperkukuh komitmen terhadap integriti, etika dan akauntabiliti dalam penyampaian perkhidmatan digital kerajaan menerusi penganjuran Program Integriti Digital 2026 di Hotel Dorsett Putrajaya pada 13 Oktober lalu.

Program anjuran Bahagian Pembangunan Strategik dan Arkitektur Digital (BSA) bersama Unit Integriti JDN itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan integriti, membudayakan profesionalisme dalam pengurusan aset teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta mempertingkat kepekaan terhadap risiko integriti dalam persekitaran digital.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah JDN, YBrs. Ts. Nik Zalbiha binti Nik Mat. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa amanah dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan perlu menjadi asas kepada setiap perkhidmatan digital yang disampaikan.

Menurut beliau, warga Perkhidmatan Sistem Maklumat bukan sahaja perlu memiliki kepakaran teknikal dan keupayaan membangunkan sistem, malah harus mengamalkan kejujuran, profesionalisme, ketegasan mempertahankan prinsip serta komitmen dalam memelihara amanah.

-Advertisement-

Program tersebut menghimpunkan seramai 132 pegawai Perkhidmatan Sistem Maklumat sektor awam, terdiri daripada Pegawai Teknologi Maklumat (PTM) dan Penolong Pegawai Teknologi Maklumat (PPTM).

Dua penceramah jemputan turut berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing. Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tuan Mohamad Izam bin Abd Nasir, menyampaikan ceramah bertajuk “Integriti dan Pencegahan Rasuah dalam Persekitaran Digital”, manakala Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), YM Raja Adnan bin Raja Ibrahim, membentangkan topik “Etika, Tatakelakuan dan Akauntabiliti Pegawai Awam dalam Penyampaian Perkhidmatan Digital”.

Penganjuran program ini diharap dapat memperkukuh penghayatan nilai integriti, amanah dan akauntabiliti dalam kalangan pegawai, seterusnya memastikan nilai tersebut diterapkan dalam pelaksanaan tugas harian serta penyampaian perkhidmatan digital kerajaan menuju aspirasi Negara AI 2030. JDN turut merakamkan penghargaan kepada semua penceramah dan peserta yang menjayakan program berkenaan – The Capital Post