JKR Melaka Selaras Projek Blok Baharu IPG

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA 17 Julai 2026 (The Capital Post) – Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka mengadakan Mesyuarat Pra Pembinaan bagi Projek Pembinaan Blok Tambahan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka secara reka dan bina sebagai persediaan awal bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah Kerja Raya Melaka itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama JKR Melaka dan memberi tumpuan kepada penyelarasan skop kerja, pelan pengurusan risiko serta pembentangan teknikal oleh wakil HOPT dan HODT.

Dalam sesi yang sama, pihak kontraktor turut membentangkan perancangan pelaksanaan projek bagi memastikan setiap aspek pembinaan difahami dengan jelas serta diselaraskan mengikut keperluan dan spesifikasi yang telah ditetapkan.

-Advertisement-

Pengarah Kerja Raya Melaka turut mengingatkan kontraktor supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen, mematuhi semua spesifikasi projek serta memastikan setiap fasa pembinaan disiapkan mengikut jadual dan tempoh yang dipersetujui.

Beliau turut menegaskan bahawa aspek kualiti kerja perlu sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan sempurna serta memberi manfaat kepada warga Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka. – The Capital Post